Persatuan Teoh Beng Hock Untuk Kemajuan Demokrasi (TBH-ADA) menuntut Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail agar telus berhubung siasatan kes kematian pembantu exco kerajaan negeri Selangor itu.
Pengerusi kumpulan itu Ng Yap Hwa berkata bahawa Saifuddin sepatutnya menjelaskan sama ada siasatan yang dijalankan terhadap kematian Teoh adalah berkaitan dengan pembunuhan atau mengurung secara salah.
Ini berikutan jawapan bertulis Saifuddin kepada soalan Ahli Parlimen Raub Chow Yu Hui di Parlimen pada Rabu, sama ada terdapat kenyataan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) direkodkan sebagai sebahagian daripada siasatan polis dan sama ada terdapat alasan yang diberikan untuk menyokong klasifikasi tiada tindakan lanjut (NFA).
“Polis sepatutnya menjalankan siasatan di bawah Seksyen 302 atau Seksyen 304 Kanun Keseksaan, kerana membunuh dengan niat atau membunuh tanpa niat, bukannya hanya melalui prosedur dengan mengambil kenyataan tanpa objektif yang jelas.
“Ini terutamanya selepas keputusan Mahkamah Rayuan pada 2014 yang jelas menyatakan kematian Teoh Beng Hock disebabkan atau dipercepatkan oleh perbuatan menyalahi undang-undang yang dilakukan oleh seorang atau lebih orang tidak dikenali, termasuk pegawai SPRM.
“Kita mesti sekali lagi menekankan, dalam penghakimannya, Hakim Hamid Sultan dengan jelas menunjukkan bahawa dalam kes biasa, sekiranya pelakunya adalah orang awam, polis sudah pun mendakwa mereka dengan pembunuhan atau pembunuhan yang boleh dipertanggungjawabkan,” kata Ng.
Dia juga menegaskan bahawa dalam kes Teoh, tiada seorang pun pegawai SPRM yang didakwa sehingga kini, yang bukan sahaja menjejaskan semangat keadilan tetapi juga melanggar hak perlembagaan untuk hidup dan prinsip kesaksamaan di hadapan undang-undang.
Bagaimanapun, berbanding kes pembunuhan pelajar universiti Maniishapriet Kaur Akhara, yang ditemui mati di asramanya pada Julai, pihak berkuasa telah bertindak pantas dalam menangkap dan mendakwa suspek berkaitan kematiannya di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang didakwa Ng telah mengesahkan pemerhatian Mahkamah Rayuan.
“Tetapi apabila ia melibatkan pegawai penguatkuasa undang-undang, polis lambat, tidak dapat menyelesaikan kes itu, dan gagal menjelaskan apa yang mereka siasat.
“Kami menekankan bahawa kebenaran dan akauntabiliti adalah satu-satunya jalan menuju keadilan jenayah (di mana) setiap hari kelewatan adalah tidak menghormati si mati dan semakin menghakis kepercayaan orang ramai terhadap sistem keadilan,” katanya.
Pada 13 Ogos, Saifuddin berkata, dalam jawapan bertulisnya kepada Chow, pihak berkuasa telah mengambil tindakan sewajarnya berikutan perintah Mahkamah Tinggi pada November tahun lepas, yang mengarahkan polis menyelesaikan siasatan mereka terhadap kematian Teoh.
Jelas Saifuddin, beberapa pegawai SPRM yang terlibat atau bertugas semasa kejadian telah dipanggil untuk direkodkan keterangan mereka, selain saksi lain yang berkaitan.
Menurutnya, kertas siasatan telah dirujuk dan diberi taklimat kepada Peguam Negara pada 14 Mei.
Menteri Dalam Negeri itu bagaimanapun tidak menjelaskan bahagian kedua soalan Chow, yang bertanyakan alasan yang diberikan di sebalik klasifikasi tiada tindakan lanjut (NFA) terhadap siasatan kematian Teoh.