Sekumpulan 12 ahli ;arlimen PKR menggesa Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail menulis surat kepada kerajaan Singapura bagi memohon penangguhan pelaksanaan hukuman mati terhadap banduan Malaysia, Pannir Selvam Pranthaman.
Mereka berkata langkah itu wajar dilakukan sementara pihak polis meneruskan siasatan terhadap ketua-ketua sindiket dadah yang merekrut Pannir, susulan laporan polis yang dibuat seorang saksi bebas pada bulan Mac lalu.
Kumpulan itu berkata laporan saksi berkenaan memberikan lebih banyak maklumat mengenai dua anggota kanan sindiket Malaysia yang merekrut Pannir.
“Kami benar-benar berharap agar usaha terbaru ini akan membawa kepada penangkapan ketua-ketua sindiket dadah tersebut dan meyakinkan Kerajaan Singapura untuk mengeluarkan kepada Pannir, Sijil Bantuan Substantif (Certificate of Substantive Assistance), sekali gus menukar hukuman mati beliau kepada penjara seumur hidup,” kata ahli parlimen berkenaan pada satu kenyataan hari ini.

Kenyataan itu ditandatangani oleh:
-
Wong Chen
-
Rafizi Ramli
-
Syed Ibrahim Syed Noh
-
Nik Nazmi Nik Ahmad
-
Muhammad Bakhtiar Wan Chik
-
Yuneswaran Ramaraj
-
Kesavan Subramaniam
-
Tan Kar Hing
-
Onn Abdul Bakar
-
Lee Chean Chung
-
Zahir Hassan
-
Rodziah Ismail
Pannir disabitkan kesalahan pada 2 Mei 2017 kerana bertindak sebagai ‘keldai dadah’ mengimport 51.84g diamorfin, satu kesalahan yang membawa hukuman mati mandatori.
Pada 5 Sept lalu, Mahkamah Tinggi Singapura menolak permohonan Pannir untuk penangguhan hukuman mati, sementara menunggu prosiding berkaitan aduannya kepada Persatuan Peguam Singapura terhadap bekas peguamnya.
Mengulas perkara ini, para ahli parlimen PKR berkenaan berkata situasi itu mewujudkan risiko tinggi hukuman mati terhadap Pannir akan dilaksanakan dalam “dalam beberapa minggu lagi, jika tidak hari-hari, yang akan datang.”
“Kami yang bertandatangan ini menentang hukuman mati mandatori kerana risikonya yang besar untuk menghukum mati pengedar dadah ringan secara tidak seimbang, seperti dalam kes Pannir, serta ketidakserasiannya dengan prinsip hak asasi manusia,” tambah mereka.
Mereka turut menyatakan Malaysia telah memansuhkan hukuman mati mandatori pada 2023, berbanding Singapura yang masih kerap melaksanakan hukuman mati.
Menurut Bernama, rayuan Pannir telah ditolak oleh Mahkamah Rayuan Singapura pada 9 Feb 2018, manakala petisyen pengampunan beliau kepada presiden republik itu juga telah ditolak.
Bagaimanapun, beliau diberikan penangguhan pelaksanaan hukuman sebanyak dua kali – pertama pada Mei 2019 ketika beliau berhasrat mencabar penolakan petisyen pengampunan serta keputusan pendakwa raya untuk tidak mengeluarkan sijil bantuan substantif kepadanya.
Penangguhan kedua berlaku pada 20 Feb, sementara menunggu keputusan permohonan Post-Appeal Applications in Capital Cases (PACC) yang difailkannya.