Malaysia Oversight

Saifuddin akan rayu keputusan kes fitnah Sanusi

By MkiniBM in August 24, 2025 – Reading time 2 minute
Saifuddin akan rayu keputusan kes fitnah Sanusi


Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail akan memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Alor Setar yang memerintahkannya membayar ganti rugi dan kos berjumlah RM670,000 kepada Menteri Besar Kedah, Muhammad Md Nor.

Saifuddin berkata dia menghormati keputusan mahkamah namun berpandangan terdapat asas kukuh untuk membawa kes itu ke peringkat Mahkamah Rayuan.

“Saya menghormati keputusan yang telah dibuat oleh Mahkamah Tinggi. Pada masa yang sama, saya ingin merakamkan penghargaan kepada pihak mahkamah atas perhatian, masa dan pertimbangan yang telah diberikan sepanjang prosiding berlangsung.

“Walau bagaimanapun, setelah meneliti keputusan tersebut bersama pasukan guaman, saya berpendirian bahawa terdapat asas undang-undang yang kukuh untuk dirayu. Justeru, saya telah mengarahkan peguamcara saya untuk segera memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan. Saya juga akan memohon penangguhan pelaksanaan keputusan berkenaan sementara menunggu proses rayuan selesai,” katanya pada kenyataan hari ini.

beab9c2777f1f06d4d7de6242494ccc8

Tegas Saifuddin, kenyataan yang dikeluarkan sebelum ini terhadap merupakan sebahagian tanggungjawabnya untuk menyuarakan isu berkaitan kepentingan awam.

“Saya ingin menegaskan bahawa segala kenyataan yang saya keluarkan sebelum ini adalah berasaskan tanggungjawab saya dalam menyuarakan isu-isu kepentingan awam.

“Saya akan terus berpegang pada prinsip bahawa keterbukaan, integriti dan kebertanggungjawaban adalah asas penting dalam amalan demokrasi,” katanya.

Terdahulu, Hakim John Lee Kien How @ Mohamad Johan Lee memutuskan Saifuddin memfitnah berhubung kenyataan berkaitan kecurian unsur nadir bumi (REE) di Bukit Enggang, Sik serta isu dana RM1.6 bilion daripada Sistem Maklumat Rekod Jalan Malaysia (Marris).

f1ec64af7b6d39f03e99c128e8a33cdc

Mahkamah mendapati kenyataan Saifuddin, termasuk merujuk Sanusi sebagai “pencuri”, membawa maksud jenayah dan berimplikasi reputasi serius terhadap plaintif.

Susulan itu, mahkamah mengarahkan Saifuddin membayar RM600,000 sebagai ganti rugi am serta RM70,000 kos guaman kepada Sanusi.

Selain itu, defendan turut diperintah mengemukakan permohonan maaf dalam tempoh 14 hari di sebuah akhbar bahasa Melayu dan sebuah akhbar bahasa Inggeris, yang kandungannya perlu mendapat kelulusan Sanusi terlebih dahulu. Mahkamah turut mengekalkan injunksi yang melarang Saifuddin atau ejennya mengulangi dakwaan tersebut.

Pada 3 Ogos 2023, Sanusi memfailkan saman fitnah terhadap Saifuddin berhubung dua kenyataan yang dibuat — semasa program Kementerian Dalam Negeri di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang pada 14 Julai 2023, serta ketika ceramah Jelajah Perpaduan Madani di Guar Chempedak, Yan, pada 15 Julai 2023.

Sanusi dalam pernyataan tuntutannya berkata kenyataan Saifuddin itu menuduhnya, selaku menteri besar dan melalui Menteri Besar Incorporated (MBI), mencuri REE di Kampung Chong, Sik, selain menyalahgunakan dana Marris.



Source link