Malaysia Oversight

Sahutlah cabaran Tei, pergi ke balai, kata Umno pada PBS

By MkiniBM in October 14, 2025 – Reading time 2 minute
Sahutlah cabaran Tei, pergi ke balai, kata Umno pada PBS


Sabah menggesa pemimpin Parti Bersatu Sabah (PBS), Joachim Gunsalam dan timbalannya, Jahid Jahim, membuat laporan polis berhubung dakwaan cubaan memonopoli perdagangan besi buruk negeri itu.

“Individu yang mendedahkan skandal besi buruk mencabar secara terbuka terhadap Joachim Gunsalam dan Jahid Jahim lapor kepada polis jika pendedahannya tidak benar. 

“Namun apa reaksi dan tindakan susulan daripada mereka berdua? 

“Mereka seolah-olah mengabaikan cabaran tersebut, mereka tidak berani membuat laporan polis,” kata Pengarah Komunikasi Strategik Sabah Datu Rosman Datu Ahir Zaman dalam satu kenyataan.

Dia merujuk kepada dakwaan ahli perniagaan Albert Tei, yang sebelum ini mendedahkan skandal perlombongan yang mengaitkan lebih sedozen ahli politik dari Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Tei, yang mendakwa menubuhkan syarikat proksi untuk membantu dakwaan cubaan memonopoli perniagaan besi buruk itu, juga menunjukkan dua pucuk surat rasmi yang didakwa ditandatangani masing-masing oleh Gunsalam dan Jahid.

Gunsalam menafikan dakwaan tersebut.

Datu Rosman mempersoalkan mengapa Gunsalam dan Jahid belum membawa perkara itu kepada polis jika dia percaya dia difitnah.

“Mereka berdua kini dalam dilema yang sangat janggal. Sekiranya mereka gagal melaporkan kepada polis bermakna mereka secara tidak langsung telah mengaku terlibat dalam kegiatan monopoli tersebut.

“Sebaliknya jika mereka berdua melaporkan kepada polis, tetapi hasil siasatan menunjukkan mereka terbabit bermakna perbuatannya melanggar kanun jenayah dengan membuat laporan polis palsu,” tambahnya.

Sabtu lalu, Tei mengulangi cabarannya kepada pemimpin PBS untuk membuktikan tuntutannya salah, selain menegaskan dia mempunyai bukti dan dokumen berkaitan.

Menurut ahli perniagaan itu, dakwaan cubaan monopoli berlaku pada 2022, ketika Gunsalam berkhidmat sebagai timbalan ketua menteri dan menteri pembangunan perindustrian negeri, manakala Jahid adalah menteri pembangunan luar bandar.



Source link