RIYADH: Pemain No.1 dunia, Aryna Sabalenka menebus kekecewaan di final Terbuka Perancis apabila menewaskan bintang muda Amerika Syarikat (AS), Coco Gauff, untuk mara ke separuh akhir WTA Final bersama Jessica Pegula.
Dalam aksi terakhir Kumpulan Stefanie Graf, Sabalenka mencatat kemenangan 7-6 (7-5), 6-2 bagi menamatkan saingan kumpulan dengan rekod bersih, sekali gus menyingkirkan juara Terbuka Perancis itu daripada kejohanan.
Pegula terlebih dahulu menewaskan Jasmine Paolini 6-2, 6-3 dalam satu lagi perlawanan kumpulan, memastikan hanya kemenangan straight set oleh Gauff mampu menafikan tempat Sabalenka ke separuh akhir.
Bagaimanapun, pemain Belarus berusia 27 tahun itu mempamerkan ketenangan dan ketajaman pukulan untuk membalas dendam kekalahan di Roland Garros, yang disifatkannya sebelum ini sebagai ‘final paling teruk pernah dimainkannya’.
“Setiap kali menentang Gauff, saya tahu ia akan menjadi perlawanan sengit. Kuncinya adalah untuk kekal fokus pada permainan sendiri tanpa terlalu emosi,” kata Sabalenka selepas perlawanan.
Dengan kemenangan tersebut, Sabalenka dijadual menentang Amanda Anisimova dalam separuh akhir hari ini, yang juga ulangan final Terbuka Amerika Syarikat yang dimenanginya pada September lalu, manakala Pegula akan berdepan Elena Rybakina.
Kekalahan Gauff juga memastikan WTA Final tahun ini akan menobatkan juara baharu buat kali pertama.
Sabalenka kini mara ke separuh akhir kejohanan elit itu buat kali keempat berturut-turut, namun hanya sekali pernah menjejakkan kaki ke final, iaitu pada 2022 apabila tewas kepada Caroline Garcia.- AGENSI






