Hajiji Noor hari ini mengumumkan kerajaan Sabah sedang mempertimbangkan untuk menyediakan pendidikan percuma kepada pelajar tempatan yang melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi kerajaan, iaitu Kolej Universiti Yayasan Sabah (UCSF) dan Kolej Teknologi Yayasan Sabah (KTYS).
Ketua Menteri Sabah itu berkata negeri itu juga bercadang untuk memperkenalkan dasar subsidi pinjaman khususnya pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Yayasan Sabah bagi meringankan beban kewangan pelajar.
“Inisiatif ini akan memanfaatkan lebih 100,000 peminjam. Saya yakin dasar ini praktikal untuk dilaksanakan kerajaan negeri selaras dengan kedudukan kewangan kita pada masa hadapan.
“Ini membuktikan kesungguhan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk memastikan lebih ramai pelajar Sabah disokong sambil menjamin akses kepada pendidikan,” katanya ketika merasmikan Konvensyen Pelajar Sabah di Dewan KDCA di Penampang.
Hajiji berkata pendidikan dan pembangunan modal insan menjadi tumpuan kerajaan negeri sejak 2021, dengan lebih RM1.3 bilion diperuntukkan dan ia menjadi jumlah terbesar dalam sejarah Sabah.
“Antara lebih 14 inisiatif pendidikan yang diperkenalkan ialah bantuan sekali bayar RM600 untuk pelajar Sabah yang belajar di Semenanjung Malaysia, Sarawak dan Labuan di bawah program GRS-SubFly, serta RM300 di bawah inisiatif Sentosa untuk mereka yang belajar di dalam negara.
“Sabah juga memperuntukkan dana biasiswa tertingginya sebanyak RM136 juta pada tahun ini untuk memberi manfaat kepada ribuan pelajar, di samping menubuhkan Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) untuk membantu pelajar menghadapi cabaran kewangan,” katanya.
Menurut Hajiji lagi inisiatif berkenan dapat dilakukan kerajaan ekoran pencapaian dari aspek pendapatan negeri yang meningkat hampir RM7 bilion pada tahun lalu.
Dia juga memberitahu Sabah sentiasa mengutamakan kebajikan dengan menjadikan skim Rumah Mesra percuma untuk isi rumah miskin dan inisiatif Sentuhan Kasih Rakyat (Syukur) — bantuan tunai RM300 bulanan untuk 12 bulan kepada 100,000 penerima mulai tahun ini – sebagai bukti.
Pada masa sama dia melahirkan keyakinan bahawa rakyat Sabah, khususnya 970,000 pengundi muda, akan membuat pilihan bijak pada pilihan raya negeri (PRN) ke-17 tidak lama lagi.
“PRN ke-17 penting kerana ia akan menentukan kesinambungan pembangunan Sabah di bawah GRS.
“Masa depan Sabah di tangan anda. Jangan sia-siakan peluang ini. Sabah tidak boleh ketinggalan lagi. Kita mempunyai potensi besar untuk menjadi sebuah negeri yang maju dan berjaya. Inilah masanya,” katanya.






