Amanah Wilayah Persekutuan menegaskan RUU Pembaharuan Semula Bandar (PSB) perlu diteruskan namun dengan penambahbaikan agar ia benar-benar menjadi instrumen pembangunan bandar yang adil, inklusif dan tidak menjejaskan hak mana-mana kaum.
Pengerusinya, Khalid Abdul Samad berkata sokongan itu bersyarat dengan jaminan perlindungan kepada pemilik asal, insurans pembangunan serta memastikan kadar pemilikan Bumiputera tidak terhakis.
Khalid berkata pimpinan Amanah menolak dakwaan bahawa RUU itu akan menghakis pemilikan Melayu.
“RUU ini tidak menyasarkan kaum, tetapi bangunan lama yang tidak lagi sesuai didiami.

“Hakikatnya, rumah flat kecil satu bilik berkeluasan 400–450 kaki persegi sudah tidak sesuai dengan gaya hidup moden.
“Pembangunan semula adalah keperluan, bukan pilihan,” katanya pada sidang media di Restoran Line Clear, Kampung Baru, Kuala Lumpur hari ini yang turut dihadiri pimpinan Amanah Ahmad Termizi Ramli, Wan Anwar Wan Ibrahim, Ir Hayatul Kamil Termudi dan Ahmad Asri Talib.
Menurut Khalid, banyak salah maklumat dimainkan pihak tertentu sehingga menimbulkan persepsi seolah-olah orang Melayu akan kehilangan tempat tinggal di bandar.
Pampasan adil, persetujuan pemilik
Khalid berkata Amanah mencadangkan pampasan kepada pemilik yang tidak bersetuju mestilah dikira berdasarkan tawaran sebenar pemaju, bukan ditetapkan sewenang-wenangnya.
“Kalau 70 peratus pemilik bersetuju dengan projek, yang selebihnya berhak mendapat pampasan adil.
“Contohnya, kalau tawaran pemaju adalah kondominium bernilai RM1 juta, pemilik yang enggan boleh diberi pampasan tunai RM700,000.
“Tidak boleh terlalu rendah hingga nampak seperti menghukum mereka yang tidak bersetuju,” katanya.

Bagi mengelak risiko projek terbengkalai, Amanah mencadangkan setiap pemaju diwajibkan mengambil insurans atas nama pemilik asal.
“Kita tidak mahu keadaan di mana penduduk kehilangan rumah kerana pemaju gagal.
“Dengan insurans, sekurang-kurangnya ada perlindungan supaya projek boleh diteruskan,” kata Khalid.
Kajian impak EIA dibiayai pemaju
Dia berkata Amanah mahu kajian sosial, trafik dan alam sekitar (SIA, TIA, EIA) dilaksanakan pakar bebas yang dilantik PBT tetapi dibiayai pemaju.
“Kajian ini perlu telus dan tidak boleh dipengaruhi oleh kepentingan pemaju.
“PBT mesti memastikan pembangunan tidak menjejaskan kemudahan asas seperti sekolah, masjid, pusat kesihatan dan trafik. Kalau penduduk bertambah dua kali ganda, kemudahan pun mesti ditambah,” katanya lagi.
Menjawab kebimbangan kos penyelenggaraan kondominium, Khalid mencadangkan kaedah subsidi silang.

“Pemilik asal boleh diberi kadar penyelenggaraan lebih rendah, manakala pembeli baharu membayar pada kadar penuh.
“Selain itu, pemaju boleh menyediakan tapak perniagaan untuk Jawatankuasa Pengurusan Bersama (JMB) menjana pendapatan, seperti sewa pejabat atau bank di aras bawah bangunan.
“Hasil sewaan boleh menampung kos penyelenggaraan penduduk asal,” katanya.
Dalam pada itu, Khalid menolak dakwaan pembangunan semula akan menghakis pemilikan Melayu, menyifatkan ia taktik politik menggunakan isu kaum.
“Orang Melayu akan terhakis, ini teori yang sering digunakan oleh pihak-pihak tertentu,” katanya.
“Kalau 100 unit flat asal dibangunkan semula jadi 300 unit, semua 300 itu masih boleh diberikan status hak milik Melayu.
“Ini bermakna pemilikan Melayu di bandar bertambah, bukan berkurang. Jadi jangan gunakan isu kaum untuk menolak pembangunan yang boleh memberi kehidupan lebih baik kepada rakyat,” tegasnya.

Pada sidang media sama, Khalid turut menyentuh penahanan kapal Sumud Flotila oleh Israel.
“Ini bukti Israel sedang melakukan pembersihan etnik dan genosid. Mereka bukan sahaja membunuh dengan bom, tetapi juga mahu rakyat Palestin mati kelaparan kerana makanan, ubatan dan bantuan tidak dibenarkan masuk,” katanya.
Dia menegaskan Amanah mengutuk keras tindakan Israel dan menyeru kepimpinan dunia untuk bertindak.
“Bila Trump datang kalau dia tak malu kita akan bersuara dan menunjukkan bantahan kita terhadap sikap Amerika Syarikat yang kejam,” katanya.






