Setiausaha Agung DAP Anthony Loke menafikan tuduhan yang mendakwa Rang Undang-undang Pembaharuan Semula Bandar (PSB) sebagai “agenda” yang dibawa oleh parti itu, menekankan bahawa perundangan yang dicadangkan telah mendapat kelulusan kabinet.
Mengulas perkara itu ketika ditemui pemberita di luar acara di Sikamat, Seremban hari ini, Loke, yang juga menteri pengangkutan, mendakwa rang undang-undang itu telah “dipolitikkan” oleh pihak tertentu.
“Ini saya pelik. Mengapa perlu kata agenda DAP? Ini agenda kerajaan Madani. Apa sahaja RUU dibawa oleh seorang menteri, bukan agenda parti masing-masing. Ia telahpun melalui jemaah menteri.
“Jadi tak ada timbul soal agenda Umno ke agenda DAP. Kalau satu undang-undang dibawa menteri daripada Umno, adakah kita kata itu agenda parti itu sahaja? Tidak. Apabila satu RUU dibawa ke Dewan Rakyat, ia mewakili keputusan kolektif kerajaan, kerana apa sahaja RUU dibawa ke parlimen, telah dipersetujui bersama secara kolektif,” kata Ahli Parlimen Seremban itu.
Rang undang-undang itu, yang bertujuan membentuk Akta Pembaharuan Semula Bandar (PSB), sebelum ini dibentangkan untuk bacaan pertama dan kedua di Dewan Rakyat oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming, yang juga pengerusi DAP Perak.
Timbalan Pengerusi BN Mohamad Hasan sebelum ini berkata Ahli Parlimen gabungan itu mahu rang undang-undang berkenaan yang bertujuan membangunkan semula kawasan bandar yang semakin tua dan semakin merosot tanpa perlu mendapat kelulusan 100 peratus daripada pemilik, ditangguhkan dan dikaji semula.
Beberapa ahli parlimen PKR juga menyatakan kebimbangan terhadap ambang persetujuan rang undang-undang untuk pembaharuan bandar, manakala pembangkang, kumpulan masyarakat sivil, dan penduduk Kuala Lumpur telah mengadakan protes di luar Parlimen untuk membantah.
Perbahasan dan pengundian untuk rang undang-undang itu telah ditangguhkan ke mesyuarat Dewan Rakyat seterusnya pada Oktober, dengan Nga berkata kementeriannya akan memperkenalkan beberapa penambahbaikan kepada PSB yang dicadangkan.
Sementara itu, menggesa pengkritik rang undang-undang untuk tidak “menuding jari” kepada DAP, Loke menegaskan agenda kerajaan adalah untuk menegakkan aspirasi Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengenai langkah pembangunan semula yang bertujuan untuk memperbaiki keadaan hidup rakyat Malaysia yang miskin.
“Jadi apa dinyatakan secara jelas, dasarnya adalah untuk membantu membangunkan semula bandar, terutama bandaraya besar seperti Kuala Lumpur.
“Di mana ada kawasan perumahan, flat lama usang dan daif. Jadi dengan adanya RUU ini, memudahkan pihak swasta untuk bangunkan semula.
“Tapi keperluan RUU ini adalah untuk pastikan hak penduduk dan pemilik dapat kita jamin. RUU ini menjamin hak pemilik rumah supaya nilai rumah dipelihara,” kata Loke.
Dia juga memberi jaminan bahawa rang undang-undang itu akan melindungi hak pemilik rumah yang tidak bersetuju dengan cadangan rancangan pembangunan semula.
Semalam, Setiausaha Kelab Veteran Umno Mustapha Yaakub berkata desakan BN untuk penangguhan rang undang-undang itu adalah bukti bahawa ia bukan boneka kepada DAP.
Mustapha juga menggesa agar semakan rang undang-undang itu dilakukan secara menyeluruh supaya “tiada agenda tersirat” yang boleh dipersoalkan oleh rakyat, khususnya orang Melayu bandar.