Malaysia Oversight

RUU perolehan bawa bayangan risiko skandal mega

By MkiniBM in August 29, 2025 – Reading time 3 minute
malaysiakini logo


Gerakan reformasi Aliran menyofatkan kelulusan Rang Undang-Undang Perolehan 2025 sebagai terburu-buru, memberi amaran bahawa kuasa meluas yang diserahkan kepada menteri kewangan dan ketua menteri negeri memberi bayangan risiko satu lagi skandal mega seperti 1MDB.

“Kes 1MDB menunjukkan bagaimana kuasa eksekutif tertumpu ke atas perbelanjaan – sama ada melalui entiti milik atau perolehan langsung – mewujudkan peluang untuk rasuah yang mengejutkan.

“Dengan meletak hak budi bicara yang tidak terkawal yang sama kepada menteri kewangan masa depan ke atas kontrak perolehan bernilai tinggi, rang undang-undang ini mewujudkan semula syarat yang membolehkan penyalahgunaan seperti 1MDB pada masa lalu,” katanya.

Aliran mengkritik kerajaan kerana meneruskan bacaan kali kedua dan mengundi hanya tiga hari sebelum Hari Kebangsaan, menyifatkan tindakan itu tidak wajar bagi pentadbiran yang berkuasa atas slogan antirasuah dan tadbir urus yang baik.

“Bagi perundangan yang akan mengawal berbilion ringgit dalam perbelanjaan awam, banyak pihak yang berkepentingan – termasuk ahli parlimen, kumpulan masyarakat sivil, kumpulan perniagaan dan orang ramai – diberi sedikit peluang atau masa yang bermakna untuk meneliti dan memberikan input mengenai rang undang-undang 93 fasal ini.

“Pendekatan tergesa-gesa ini mencerminkan kecenderungan autoritarian yang cuba dibongkar oleh gerakan reformasi,” tambahnya.

Kumpulan itu menegaskan bahawa kerajaan reformis yang tulen akan mengadakan perundingan yang meluas, pendengaran awam, dan memastikan ketelusan sebelum membentangkan rang undang-undang yang begitu meluas, termasuk meminta tapisan oleh jawatankuasa pilihan parlimen dan memberi masa yang mencukupi untuk perbahasan.

“Walaupun bertahun-tahun masyarakat sivil menyokong undang-undang perolehan yang kukuh berikutan skandal rasuah yang tidak berkesudahan, rang undang-undang ini menginstitusikan kelemahan yang telah melanda tadbir urus Malaysia.

“Malangnya ia memberikan budi bicara luar biasa kepada menteri kewangan dan ketua menteri negeri berhubung kontrak perolehan melebihi RM50 juta untuk barangan dan perkhidmatan dan RM100 juta untuk kerja – tanpa had atas. Penumpuan kuasa yang mengejutkan ini sukar dipercayai, terutamanya datang daripada kerajaan ‘reformis’,” katanya.

Aliran menekankan bahawa ahli lembaga pemerolehan menghadapi sekatan konflik kepentingan, namun menteri, yang mempunyai kuasa yang lebih besar, beroperasi tanpa perlindungan sedemikian.

Ia seterusnya menyatakan bahawa rang undang-undang itu mewujudkan tribunal rayuan yang tidak benar-benar bebas.

“Menteri yang keputusannya mungkin dicabar melantik ahlinya, menetapkan prosedurnya dan mengawal sekretariatnya. Bagaimana ini boleh berlaku? Ia mewujudkan mekanisme akauntabiliti palsu di mana eksekutif pada dasarnya menyemak dirinya sendiri.

“Rang undang-undang itu penuh dengan peruntukan yang membenarkan menteri mengecualikan keseluruhan program daripada penggunaannya, memintas keperluan pendaftaran (untuk pihak yang mempunyai hubungan politik?) dan menggunakan kuasa luar biasa tanpa pengawasan luar. Kelemahan ini menjadikan rang undang-undang itu tidak bermakna,” katanya.

Kumpulan itu menegaskan bahawa perolehan kerajaan melibatkan lebih daripada bekalan pejabat, menjangkau kepada projek mega, tebus guna tanah, sistem IT dan perkhidmatan profesional bernilai berbilion-bilion.

“Tanpa semakan dan imbangan yang sewajarnya, kontrak ini boleh menjadi alat untuk mendapatkan sewa, sogokan dan ‘komisen’, sama seperti keputusan perolehan 1MDB memudahkan salah laku kewangan yang besar,” katanya.

Namun, Aliran menyatakan bahawa peluang masih ada untuk membetulkan undang-undang yang cacat jika terdapat tekanan awam yang berterusan menjelang bacaan ketiga rang undang-undang itu dan pendengaran di Dewan Negara.

Kumpulan itu menggesa rakyat Malaysia untuk bersuara dan mendesak semakan besar-besaran.

“Ahli Dewan Negara tidak boleh berdiam diri. Mereka harus mencadangkan pindaan yang bermakna atau menolak rang undang-undang sepenuhnya dan bukannya jadi ‘cop getah’ atau mengundi mengikut pendirian parti.

“Semakan peringkat jawatankuasa juga menawarkan peluang untuk penelitian terperinci dan pindaan klausa khusus yang menumpukan kuasa, mewujudkan konflik kepentingan dan menjejaskan ketelusan,” katanya.

Ditubuhkan di Pulau Pinang pada tahun 1977, Aliran turut mengemukakan beberapa tuntutan kepada kerajaan, termasuk:

Membenarkan perundingan dan pindaan tulen semasa proses semakan Dewan Negara.

Menghapuskan peruntukan yang menumpukan kuasa besar yang tidak terkawal dalam menteri kewangan dan ketua menteri negeri.

Mewujudkan mekanisme pengawasan dan rayuan yang benar-benar bebas.

Menutup kelemahan yang membenarkan pemintasan perlindungan perolehan.

Meletakkan semua perolehan bernilai tinggi dan projek mega di bawah keperluan ketelusan yang bermakna.

Memperkenalkan klausa untuk menghalang menteri sekarang dan akan datang daripada menyalahgunakan kuasa mereka.

“Rakyat Malaysia berhak menerima undang-undang pemerolehan yang memenuhi kepentingan awam – bukan yang menginstitusikan status quo atau memburukkannya.

“Kerajaan mesti memilih sama ada ia akan memenuhi komitmen pembaharuannya atau memburukkan keadaan yang membolehkan rasuah berleluasa berkembang,” katanya.

Dewan Rakyat meluluskan rang undang-undang itu semalam. Dalam undian blok, 125 Ahli Parlimen mengundi menyokong rang undang-undang itu manakala 63 mengundi menentangnya dan seorang berkecuali. Seramai 32 ahli parlimen tidak hadir.

Ahli parlimen pembangkang kemudiannya melakukan gerakan keluar dewan sebagai protes.



Source link