Malaysia Oversight

RUU E-Dagang dijangka bentang akhir tahun ini

By Utusan in September 5, 2025 – Reading time 2 minute
RUU E-Dagang dijangka bentang akhir tahun ini


KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) e-dagang kini berada di peringkat akhir sebelum dibentangkan ke Parlimen hujung tahun ini, selepas melalui proses libat urus selama 18 bulan bermula April 2024 hingga Oktober 2025.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr. Fuziah Salleh berkata, ia merupakan langkah penting mengawal selia sektor perdagangan digital yang semakin pesat berkembang.

Jelasnya, RUU berkenaan sudah melalui pelbagai sesi libat urus bersama kumpulan fokus dan penanda aras daripada pelbagai negara.

“Draf RUU telah disediakan, namun masih dalam perancangan untuk diangkat untuk kelulusan Kabinet dan Jabatan Peguam Negara. Kami menjangkakan RUU tersebut dapat dibawa ke Parlimen pada hujung tahun ini.

“Dalam sektor e-dagang, tempoh enam bulan dianggap lama kerana perkembangan industri berlaku dengan pantas. 

“Justeru, semua pihak termasuk kementerian, pasukan kerja dan perunding memberi komitmen penuh bagi memastikan RUU ini dimuktamadkan,” katanya kepada pemberita selepas pra pelancaran Persidangan E-Dagang ASEAN 2025 di sini, semalam. 

Menurutnya, antara intipati utama RUU e-dagang adalah memastikan keadilan kepada semua pihak berkepentingan termasuk penyedia platform, penjual, rakan niaga dan pengguna. 

“Ia dirangka bagi menangani isu caj platform terlalu tinggi, promosi mengelirukan, salah laku penjual, aduan produk tidak menepati janji serta kebolehpercayaan peniaga.

“RUU itu bertujuan menjadikan industri e-dagang negara lebih telus, adil dan mampan,” jelasnya. 

Sementara itu, beliau berkata, kementerian itu sedang membangunkan aplikasi kawalan minyak masak bersubsidi menggunakan imbasan kod respons pantas (QR) bagi mengelakkan salah guna, khususnya oleh warga asing. 

“Projek perintis ini dimulakan menerusi Program Jualan Rahmah Madani.

“Mekanisme tersebut membolehkan peruncit menyediakan kod QR untuk diimbas pengguna sebelum membeli minyak masak paket bersubsidi. 

“Sistem itu menambah baik pengesanan rantaian bekalan hingga ke peringkat pengguna akhir, namun masih menilai penerimaan orang ramai memandangkan timbul kebimbangan mengenai kelewatan semasa pembelian.

“Maklum balas projek perintis akan dijadikan asas sebelum dilaksanakan di seluruh negara. Sistem ini hanya terpakai kepada minyak masak paket bersubsidi, manakala minyak masak botol atau tanpa subsidi tidak terlibat,” katanya. 

Fuziah Salleh berkata, bagi petrol RON95, sedang membangunkan mekanisme berbeza menerusi penggunaan kad pengenalan (IC)

“Ujian rintis telah dilaksanakan di beberapa stesen minyak dengan pemasangan terminal khas untuk tujuan tersebut,” katanya. – UTUSAN





Source link