BELANJAWAN 2026 | Dalam usaha menoktahkan jenayah buli, Anwar Ibrahim menegaskan, kerajaan bersetuju untuk membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Antibuli 2025 pada sesi mesyuarat kali ini.
Menurut perdana menteri, budaya buli – sama ada berlaku di sekolah, universiti mahupun tempat kerja – merupakan jenayah senyap yang perlu dihentikan daripada terus merebak.
Katanya, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) telah diarah untuk mengambil langkah menyelesaikan isu buli.
“Buli ialah jenayah senyap yang mesti dinoktahkan.
“Gejala ini sama ada di sekolah, universiti, tempat kerja mahupun di alam maya telah membunuh potensi, menanam trauma berpanjangan, malah meragut nyawa insan.
“Kita mesti putuskan rantaian kezaliman ini sampai ke akar melalui didikan empati dan penguatkuasaan tanpa kompromi,” katanya.
Anwar yang juga menteri kewangan menjelaskan kerajaan bersetuju untuk membentangkan RUU Antibuli 2025 pada sesi mesyuarat yang sedang berlangsung.

Katanya seluruh kekuatan dan jentera kerajaan merentasi kementerian akan digembleng bagi mengekang gejala tersebut.
Mengulas lanjut Anwar berkata, KPM membangunkan Kerangka Antibuli Sekolah (Safe) sebagai rangka menyeluruh pencegahan buli di sekolah.
KPT pula, katanya, akan meningkatkan keselamatan mahasiswa di kampus dengan menambah kemudahan kamera litar tertutup (CCTV) dan menganjurkan program sahsiah serta kepimpinan sebagai bentuk pencegahan.
“Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menyediakan sokongan psikososial melalui sesi kaunseling berkelompok.
“Kementerian Komunikasi pula akan melaksanakan Kempen Internet Selamat bagi meningkatkan tahap kesedaran siber dalam kalangan murid sekolah.
“Rakan Muda menggerakkan ikhtiar Lawan Buli dalam kalangan belia di akar umbi,” katanya.






