Rusia menganggap Malaysia sebagai rakan strategik dan dipercayai dalam memperkukuh kerjasama serantau, sambil memuji kepimpinan negara sebagai Pengerusi ASEAN dan tuan rumah Perhimpunan Agung Antara Parlimen ASEAN (AIPA GA) ke-46.
Ketua Delegasi Rusia ke Perhimpunan Agung AIPA ke-46, Sholban Kara-Ool turut memuji pendekatan pragmatik Malaysia dalam menetapkan agenda serta usahanya menangani cabaran serantau yang mendesak, termasuk transformasi digital, kelestarian ekologi dan pemulihan ekonomi.
“Malaysia memainkan peranan penting dalam diplomasi serantau dan kerjasama ekonomi. Itulah sebabnya Presiden kami, Vladimir Putin memberi perhatian besar terhadap usaha memperkukuh hubungan dengan Malaysia,” katanya kepada Bernama di luar Perhimpunan Agung AIPA ke-46.
Perhimpunan itu berlangsung di Kuala Lumpur dari 16 hingga 22 Sept 2025.
Sholban, yang juga Timbalan Pengerusi Duma Negeri Persekutuan Rusia, menekankan momentum baharu dalam hubungan dua hala selepas dua lawatan bersejarah berprofil tinggi tahun ini — oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim — ke Rusia yang menyaksikan pemeteraian beberapa perjanjian kerjasama.
Sultan Ibrahim berkenan mengadakan Lawatan Negara sulung ke Rusia pada Ogos atas undangan Putin.
Lawatan itu digambarkan sebagai bersejarah kerana ia merupakan Lawatan Negara pertama oleh Ketua Negara Malaysia ke Rusia sejak hubungan diplomatik terjalin pada 1967.
Terdahulu pada Mei, Anwar melakukan lawatan rasmi ke Rusia, menandakan kejayaan diplomatik penting serta memperkukuh hubungan Kuala Lumpur-Moscow, yang juga merupakan lawatan rasmi pertama oleh pemimpin Malaysia ke negara itu dalam tempoh hampir 20 tahun.
Sepanjang lawatan berkenaan, Rusia dan Malaysia membincangkan beberapa bidang kerjasama lebih erat, termasuk cadangan penerbangan terus antara Moscow dan Kuala Lumpur serta menyelesaikan cabaran berkaitan transaksi kewangan dan penyelesaian perdagangan.
Menurut Sholban, jaringan udara secara terus akan memberi lonjakan besar kepada pelancongan dan pertukaran ekonomi, sambil menegaskan negara yang mempunyai hubungan sedemikian mencatatkan peningkatan ketara dalam ketibaan pelancong Rusia.
“Kewujudan penerbangan terus antara Moscow dan bandar seperti Bangkok membolehkan Thailand menarik lebih ramai pelancong Rusia.
“Kami percaya Malaysia mempunyai potensi sama, dan kami bersedia bekerjasama untuk menjadikannya kenyataan,” katanya.
Rusia turut mengiktiraf kepimpinan Malaysia dalam mengemudi perbincangan AIPA mengenai isu berorientasikan masa depan, termasuk tindak balas perundangan terhadap pendigitalan dan transformasi alam sekitar.
Delegasi itu menekankan bahawa kemampuan Malaysia menggabungkan kedinamikan ekonomi dengan kestabilan sosial menawarkan pengajaran berharga, khususnya bagaimana kerangka legislatif boleh menyokong pembangunan seimbang dan inklusif.
“Kami amat berminat dengan cara Malaysia mengawal selia transformasi digital dan ekologi melalui perundangan, kerana kami percaya manusia mesti sentiasa menjadi tumpuan dalam penggubalan dasar,” kata Sholban.
Sholban juga menyambut baik inisiatif Malaysia memperkukuh hubungan antara rakyat, termasuk pertukaran belia dan kerjasama pendidikan, yang pada masa kini seramai 750 pelajar Malaysia sedang menuntut di Rusia, dengan 250 daripadanya ditaja sepenuhnya oleh kerajaan Rusia.
Sebagai sebahagian usaha meningkatkan diplomasi antara Parlimen, mesyuarat berprofil tinggi antara Speaker Parlimen Malaysia dan Pengerusi Majlis Persekutuan Rusia dijadual berlangsung pada Oktober.
“Kepengerusian Malaysia dalam ASEAN tahun ini mencerminkan komitmen jelas terhadap keamanan, kemakmuran dan dialog konstruktif serantau.
“Kami berbesar hati menyokong usaha ini dan memperdalam kerjasama kami,” katanya.
Perhimpunan Agung AIPA ke-46 menghimpunkan penggubal undang-undang dari negara anggota ASEAN dan rakan dialog bagi menggalakkan kerjasama legislatif serta menangani cabaran serantau bersama.
– Bernama