Malaysia Oversight

Rundingan damai Pakistan-Afghanistan gagal lagi

By Utusan in November 9, 2025 – Reading time 1 minute
Rundingan damai Pakistan-Afghanistan gagal lagi


KABUL: Rundingan damai antara Afghanistan dan Pakistan di Turkiye gagal mencapai kata sepakat selepas Taliban menuduh Islamabad bersikap ‘tidak bertanggungjawab dan enggan bekerjasama’.

Jurucakap Taliban, Zabihullah Mujahid berkata, pihak Pakistan cuba melepaskan tanggungjawab keselamatan negaranya dengan menuding jari kepada Afghanistan.

“Delegasi Pakistan menunjukkan sikap tidak bertanggungjawab dan enggan mengambil peranan dalam memastikan keselamatan bersama,” katanya dalam satu kenyataan di media sosial, kelmarin.

Beliau menegaskan, rundingan tersebut tidak menghasilkan sebarang kemajuan.

Pakistan setakat ini belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi.

Bagaimanapun sehari sebelumnya, Menteri Penerangan Attaullah Tarar berkata, kegagalan rundingan berpunca daripada Afghanistan yang gagal menunaikan janji untuk mengekang aktiviti keganasan.

“Pakistan akan terus mengambil langkah perlu bagi melindungi keselamatan rakyat dan kedaulatan negara,” katanya.

Rundingan yang diadakan di Istanbul pada Khamis bertujuan memuktamadkan gencatan senjata yang dicapai pada 19 Oktober di Qatar, susulan pertempuran paling berdarah antara kedua-dua negara jiran sejak Taliban mengambil alih kuasa pada 2021.- AFP

 





Source link