Setelah beberapa kali ditangguhkan, rumah di Kampung Papan, Pandamaran mula dirobohkan pagi ini.
Timbalan pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM), S Arutchelvan memberitahu Malaysiakini, setakat tengah hari dianggarkan sekitar 20 rumah dirobohkan.
Ini didakwa termasuk enam rumah yang masih berpenghuni, walaupun kerajaan sebelum ini berkata akan merobohkan rumah kosong sahaja.
“Inikah janji Kerajaan Madani? Mereka janji roboh rumah kosong, sekarang rumah berpenghuni pun dirobohkan.
“Ada antara mereka sudah tua dan sakit, Mana pergi boleh pergi selepas ini,” katanya yang membantu penduduk mendapatkan pampasan lebih baik daripada pemaju.



Berdasarkan gambar yang dikongsi oleh penduduk dengan Malaysiakini, beberapa jentolak digunakan bagi kerja-kerja perobohan hari ini.
Arutchelvan menyifatkan tindakan itu sebagai tidak berperikemanusiaan dan bercanggah dengan prinsip kerajaan yang mendakwa memperjuangkan keadilan.
“Inikah kerajaan yang adil kepada semua pihak? Kalau mereka beri rumah ganti sebelum meroboh, masih boleh diterima. Tapi sekarang, rumah diroboh tanpa sebarang jaminan,” katanya.
Sebelum ini, kerajaan Selangor dilapor memberikan komitmen untuk membina rumah baharu bagi menempatkan semula penduduk Kampung Papan yang terjejas.
Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Pandamaran Tony Leong berkata, projek pembinaan rumah untuk 181 keluarga akan dilaksanakan oleh sebuah anak syarikat kerajaan negeri dalam masa terdekat.
Sementara itu, Arutchelvan mendakwa pemaju bersikap angkuh dan enggan berunding dengan penduduk semasa operasi.
Malaysiakini cuba mendapatkan penjelasan exco perumahan Selangor Borhan Aman Shah berkaitan dakwaan rumah berpenghuni turut dirobohkan.
Sementara itu, dalam satu video dikongsi dengan Malaysiakini, seorang penduduk yang rumahnya dirobohkan hari ini mendakwa dia tidak diberi masa untuk mengeluarkan barang-barang.
“Kami minta mereka berhenti dulu, tapi mereka terus roboh. Kami minta masa untuk keluarkan barang keperluan, tapi tak diberi peluang.
“Pagi-pagi mereka datang usir kami keluar, keluarkan barang sesuka hati dan terus roboh. Kami sendiri tak tahu nak buat apa,” katanya.






