Kediaman Mirzan Mahathir, anak sulung kepada bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, dipecah masuk pada Rabu lalu, menyebabkan kehilangan barangan mewah dianggarkan bernilai RM1.8 juta.
Mirzan memberitahu portal berita Scoop bahawa kejadian itu berlaku pada Rabu lalu ketika dia tiada di rumah.
Anak perempuannya, Khadijah Mirzan Mahathir, 29, berada di rumah ketika pembantu rumah mreeka menyedari kediaman itu diceroboh.
Kejadian itu dipercayai berlaku kira-kira jam 5 petang, selepas pembantu rumah berkenaan menyedari mangga pada pagar belakang kediaman tersebut telah dipotong.
Khadijah turut mendapati bilik tidurnya digeledah selepas pembantu rumah memaklumkan kejadian itu.
Antara barangan yang dilaporkan hilang termasuk gelang dan cincin Cartier, jam tangan Rolex yang mempunyai ukiran peribadi, tiara mutiara, subang berlian, gelang jed, barang kemas pusaka, mata wang asing dan dokumen peribadi.
Mirzan berkata dia amat terkesan dengan kejadian itu dan berasa keselamatan keluarganya telah diceroboh.
Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Mohamed Usuf Jan Mohamad, mengesahkan siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah.
Pegawai penyiasat, ASP Mohd Hasni Hussin berkata, pasukan forensik menemui tiga cap jari dari lokasi kejadian serta mangga yang dipotong, yang kini dihantar ke Bukit Aman untuk dianalisis.
Menurutnya, banglo dua tingkat tersebut dilengkapi sistem keselamatan 24 jam dan 16 kamera CCTV, namun sistem tersebut hanya membolehkan pemantauan secara langsung.
“Kami kini sedang meneliti rakaman CCTV dari rumah jiran serta kamera ITIS (Sistem Maklumat Pengangkutan Bersepadu) yang berdekatan. Unit K9 juga telah dikerahkan namun tidak mengesan sebarang jejak.
“Dengan bukti forensik dan rakaman CCTV yang sedang dianalisis, kami percaya kami semakin hampir untuk mengenal pasti dan menangkap suspek,” kata Hasni.