Pertandingan ini merupakan anjuran Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) dan Kail Kota Events, serta sokongan penuh Tourism Malaysia, sebagai salah satu pengisian istimewa menjelang Tahun Melawat Selangor 2025 dan Tahun Melawat Malaysia 2026.
Lebih menarik, penyertaan datang dari pelbagai negeri seperti Terengganu, Pahang, Perak, Melaka, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan Selangor, sekali gus menonjolkan potensi besar Tanjung Harapan sebagai lokasi pelancongan berasaskan sukan rekreasi laut.
Lebih 300 ekor ikan pelbagai spesies berjaya didaratkan sepanjang pertandingan, termasuk ketuka, duri, mayong, senangin, semilang, tebal pipi, talang, gelama, todak dan daun baru. Keunikan hasil tangkapan ini memperlihatkan kekayaan biodiversiti perairan Tanjung Harapan yang berpotensi diangkat sebagai hab sufcasing utama negara.
Menurut Ahli Majlis MBDK (N44A), Lee Fu Haw, acara ini bukan sekadar pertandingan memancing, malah menjadi pemangkin kepada pembangunan pelancongan setempat.
“Kehadiran ratusan peserta dari luar negeri memberi petunjuk jelas bahawa Tanjung Harapan mampu dijadikan sebagai destinasi wajib kaki pancing dan tumpuan pelancongan baharu di Selangor,” katanya.
Beliau menambah, MBDK komited memperkasakan lagi infrastruktur asas seperti kemudahan tandas, surau dan parkir, selain memperindah kawasan sekitar tasik serta memperkenalkan program pendidikan awam seperti kempen kebersihan pantai dan aktiviti sukan air.
Dalam masa sama, usaha menaik taraf produk pelancongan sedia ada seperti kapal Bugis yang berlabuh di lokasi itu sedang digiatkan, bagi menambah nilai warisan maritim sebagai tarikan baharu kepada pelancong domestik dan antarabangsa.
Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Kemasyarakatan MBDK, Azhar Samsudin bersama dengan Fu Haw.
Tempat pertama dimenangi oleh Rostam Ibrahim, 50, dari Pekan, Pahang yang menaikkan ikan senangin seberat 2.285 kilogram menggunakan umpan udang hidup, dan membawa pulang RM10,000.
“Luar jangka… Alhamdulillah atas kemenangan ini,” ujar beliau ringkas.
Naib johan disandang oleh Shah Nazad Aman Shah, 57, yang menaikkan ikan mayong seberat 1.305 kilogram, menerima hadiah wang tunai RM3,000, manakala tempat ketiga milik Muhammad Aleef Ruhaimey Samsuri, 26, dengan tangkapan mayong seberat 1.080 kilogram, menerima RM1,000.
Melihat kepada sambutan hangat yang diterima, MBDK merancang untuk menganjurkan edisi kedua pertandingan ini pada November depan, bersempena ulang tahun kedua penubuhan pihak berkuasa tempatan tersebut.
Acara ini dijangka menjadi antara aktiviti tahunan utama yang bukan sahaja memupuk minat dalam sukan memancing, malah turut membuka peluang ekonomi dan pekerjaan kepada komuniti setempat menerusi industri pelancongan.
Dengan perancangan strategik dan sokongan berterusan, Tanjung Harapan berpotensi besar untuk muncul sebagai lokasi pelancongan rekreasi laut unggul serta pusat tumpuan aktiviti sufcasing bertaraf nasional. – UTUSAN