Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil Noor mencadangkan agar gadis yang terlibat dalam hubungan seks bawah umur secara suka sama suka turut dipertanggungjawabkan dan tidak sepatutnya dilepaskan sepenuhnya daripada kesalahan di bawah undang-undang sedia ada.
“Pihak kerajaan berhak untuk meneliti semula undang-undang berkaitan jenayah rogol bawah umur suka sama suka.
“Hukuman yang lebih setimpal perlu dikenakan kepada semua pihak yang terlibat. Pelepasan daripada sebarang hukuman tidak akan menyelesaikan masalah,” katanya pada laman rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.
Dia menegaskan bahawa undang-undang sivil cenderung untuk memberi fokus kepada pendakwaan terhadap pihak lelaki dalam kes-kes sebegini manakala pihak perempuan dilindungi.
Namun menurutnya, pendekatan ini tidak menggambarkan realiti situasi di mana kedua-dua pihak mungkin sama-sama terlibat.
Dia berkata keadaan kini seolah-olah menunjukkan undang-undang bersifat berat sebelah kerana hanya menghukum satu pihak, walaupun kedua-duanya sama-sama bersalah dari segi moral.
Tambahnya lagi, pendekatan sebegini tidak menyelesaikan masalah asas kerana rogol atau hubungan seksual di luar pernikahan, sama ada secara rela atau tidak, jelas bertentangan dengan ajaran Islam.
“Jika wanita didapati bersalah, mereka juga wajib dikenakan hukuman. Contohnya, jika seorang wanita disabitkan kesalahan berzina, maka dia tetap akan dihukum.
“Dalam konteks rogol bawah umur suka sama suka, walaupun undang-undang sivil memberikan perlindungan kepada mangsa wanita, ia tidak seharusnya melepaskan mereka daripada tanggungjawab moral dan hukuman jika mereka turut menyumbang kepada perlakuan jenayah.
“Hukuman yang adil dan setimpal ke atas kedua-dua pihak yang bersalah akan memberikan pengajaran dan pendidikan yang lebih efektif.
“Bahkan, pelepasan kelompok tertentu daripada sebarang hukuman boleh menggalakkan perlakuan jenayah yang sama pada masa akan datang. Ia juga menafikan realiti bahawa dalam banyak kes, kedua-dua pihak terlibat secara sedar dan rela, walaupun salah seorang daripadanya adalah bawah umur.
“Lantaran itu, hukuman terhadap kedua-dua pihak akan menegaskan bahawa jenayah bukanlah isu melibatkan jantina tertentu, tetapi ia adalah isu moral dan perundangan yang melibatkan sesiapa sahaja yang melanggar peraturan serta undang-undang,” katanya lagi.
Bagaimanapun, Fauwaz menambah bahawa pihak berkuasa juga berhak mengenakan hukuman lebih berat ke atas lelaki yang mengeksploitasi gadis bawah umur.
“Hal ini kerana, perempuan di bawah umur masih belum mencapai tahap usia yang matang untuk berfikir dengan sebaiknya.
“Sebaliknya, menjadi tanggungjawab bagi pihak lelaki untuk membimbing dan melindungi, bukan merosakkan kaum wanita,” tambahnya.
Fauwaz turut menggesa agar hukuman yang lebih seimbang dikenakan ke atas semua pihak yang terlibat, dengan menegaskan pengecualian sebelah pihak tidak akan menyelesaikan masalah, sebaliknya membuka ruang kepada lebih banyak jenayah.
Dia berkata pelaksanaan hukuman dalam Islam juga selaras dengan prinsip hifz al-amn (memeliharan keamanan), yang merupakan salah satu elemen utama dalam maqasid al-shariah.
“Mengecualikan mana-mana pihak yang didapati bersalah daripada hukuman bercanggah dengan prinsip ini. Ia juga bertentangan dengan maqasid ‘imarah, yang menuntut setiap individu bertanggungjawab untuk memupuk kebaikan di muka bumi dan mencegah kemungkaran.
“Undang-undang Islam bertujuan memberi pendidikan (ta’dib) kepada pelaku dan masyarakat secara keseluruhannya, agar jenayah tidak berulang. Oleh itu, memberi kekebalan daripada hukuman kepada sebelah pihak sahaja dilihat bercanggah dengan objektif dan prinsip perundangan Islam,” katanya lagi.
Kenyataan mufti hari ini dilihat menyokong cadangan Ketua Polis Kelantan, Yusoff Mamat, yang sebelum ini menyarankan agar gadis yang terlibat dalam kes rogol statutori turut didakwa bersama lelaki dewasa yang menjadi pelaku.
Yusoff berhujah agar cadangannya dipertimbangkan dengan alasan, berdasarkan siasatan hampir 90 peratus kes rogol statutori berlaku secara suka sama suka.
Namun, kenyataan itu menerima kecaman, apabila Penasihat Kebangsaan DAP, Lim Guan Eng menggesa dia menarik balik cadangan tersebut, menyifatkannya sebagai “tidak masuk akal”.
Lim menegaskan tujuan undang-undang sedia ada adalah untuk melindungi gadis bawah umur daripada eksploitasi seksual kerana faktor usia mereka yang belum matang dan kurang pengetahuan untuk membuat keputusan sama ada mahu terlibat dalam hubungan seksual.
Seiring dengan itu, peguam Latheefa Koya, turut mengecam cadangan polis tersebut sebagai “melampau dan tidak masuk akal”, dengan menekankan logik undang-undang rogol semasa yang tidak mengkategorikan mangsa perempuan sebagai penjenayah.