Roblox Komited Tingkatkan Tahap Keselamatan Pengguna
Amy Maizuraa
Roblox berjanji akan meningkatkan tahap keselamatan pengguna melalui penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan pemantauan manusia. Syarikat itu turut menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan kerajaan Malaysia khususnya dalam aspek perkongsian data dan pematuhan peraturan yang ditetapkan.

Perkara tersebut dikongsikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menerusi satu kemas kini di Facebook. Dalam kenyataan itu, beliau menyuarakan kebimbangan terhadap keselamatan kanak-kanak yang menggunakan platform permainan dalam talian seperti Roblox. Hannah menegaskan bahawa dunia digital bukan sahaja perlu menyeronokkan malah harus berperanan membentuk watak dan nilai murni dalam kalangan generasi muda.

Beliau turut meluahkan kebimbangan terhadap kesan permua terhadap tingkah laku dan emosi kanak-kanak khususnya apabila tidak dipantau sebaiknya oleh ibu bapa atau penjaga. Menurutnya, pemantauan yang berterusan amat penting bagi memastikan pengalaman digital anak-anak sentiasa selamat.

Kebimbangan itu turut dikaitkan dengan insiden tragis melibatkan seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun cedera selepas dikelar oleh abangnya yang berusia sembilan tahun. Menurut polis, kejadian tersebut dipercayai berpunca daripada rasa kecewa si abang apabila permainan Roblox dimainkannya terganggu sehingga menyebabkan dia kehilangan semua mata yang telah dikumpulkan.
Dengan jangkauan melebihi 100 juta pengguna di seluruh dunia termasuk lebih sejuta di Malaysia, Roblox memikul tanggungjawab besar untuk memastikan keselamatan pengguna sentiasa terpelihara dan tidak boleh dipandang ringan.
Komen
Sila log masuk untuk menghantar komen.






