Sebanyak RM802 juta dimohon khusus bagi pembangunan 16 pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini tahun depan, dengan tumpuan kepada sektor teras termasuk pengindahan bandar, rekreasi, Tunku Mahkota Ismail Youth Centre (TMIYC), pengurusan banjir, bandar pintar, jalan raya, kemudahan awam dan pelancongan.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata sebanyak 82 projek berimpak tinggi bernilai RM310.9 juta akan dilaksanakan, merangkumi 22 projek kemudahan awam bernilai RM81 juta, 14 projek pengindahan bandar (RM53.6 juta), 12 projek bandar pintar (RM18 juta) dan projek infrastruktur serta jalan raya bernilai lebih RM115 juta.
Beliau berkata pelaksanaan inisiatif itu termasuk pembinaan dewan, pembaikan pasar, menaik taraf gerai, pembinaan gelanggang futsal berbumbung, pembinaan TMIYC, pemasangan lampu jalan pintar, kamera litar tertutup (CCTV) pintar, tebatan banjir, kolam tadahan air serta pelbagai projek landskap bagi menceriakan bandar.
“Selain itu, matlamat pembinaan 30,000 unit Rumah Mampu Milik Johor menjelang 2026 dan 100,000 unit menjelang 2030 akan terus dipacu di samping memastikan penyelenggaraan Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Rumah Sewa Kerajaan (RSK) lebih teratur,” katanya menerusi hantaran Facebook hari ini.
Terdahulu, Mohd Jafni telah membentangkan Draf Belanjawan 2026 Portfolio Perumahan dan Kerajaan Tempatan di hadapan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi.
“Belanjawan itu turut mengangkat konsep bandar pintar di bawah PLANMalaysia Johor sebagai satu daripada tonggak penting dan projek seperti ‘Johor Urban Observatory’ (JUO), pemasangan kamera pintar, ‘Smart Lighting’, ‘Smart Traffic Light’ serta digitalisasi sistem PBT akan membawa Johor setanding dengan bandar-bandar maju di rantau ini.
“Insya-Allah, dengan kerjasama semua pihak, Draf Belanjawan 2026 ini akan menjadi pemacu baharu kepada pembangunan Johor yang inklusif, progresif dan sejahtera,” katanya.
– Bernama