Majlis Industri Malaysia India (MIPP) mendesak kerajaan berhenti bermain politik dan memberikan alasan tempang berhubung program bantuan komputer riba refurbished (terpakai dan dibaik pulih) di bawah Unit Transformasi India Malaysia (Mitra).
Bercakap kepada Malaysiakini, Timbalan Presiden MIPP, S Subramaniam berkata alasan Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, R Ramanan, bahawa “kekurangan dana” menjadi sebab Mitra mengagihkan komputer riba yang telah dibaik pulih kepada SJKT adalah tidak boleh diterima.
“Kekurangan dana merupakan salah satu alasan paling bodoh saya pernah dengar.
“Kamu dapat RM100 juta untuk setahun. Dan kamu sanggup belanja RM3 juta komputer riba yang terpakai, tetapi, kamu beri alasan tak cukup hanya RM3 juta lagi untuk membeli yang baru.
“Kamu sanggup belanja RM500 untuk membeli sebiji komputer terpakai. Tapi komputer baru dalam RM1,000 sahaja.
“Bukankah perdana menteri kamu seorang murah hati terhadap masyarakat India. Takkan kerajaan tak ada RM3 juta untuk bantu membeli komputer baru,” katanya.

Sebelum ini, Ramanan yang juga Ahli Parlimen Sungai Buloh mempertahankan Mitra sambil menegaskan keputusan itu dibuat berdasarkan dana yang ada.
Katanya, penyediaan komputer riba baru akan menanggung kos yang jauh lebih tinggi dan menjejaskan pelaksanaan program lain. Tambahnya, laporan pemantauan Mitra menunjukkan bahawa inisiatif itu telah memberi manfaat kepada pelajar, guru, dan pentadbir sekolah.
“Kenapa beri komputer riba terpakai? Ini Mitra, kita bukan Kementerian Pendidikan, Kementerian Komunikasi, atau Kementerian Digital. Kita kena buat apa yang munasabah.
“Jika kami memberikan komputer riba baru, kami akan menggunakan sejumlah besar dana, dan jika kami menggunakan dana sedemikian, bagaimana kami hendak menjalankan program lain?” kata Ramanan pada sidang media di Parlimen semalam.

Dia mengulas dakwaan pihak tertentu bahawa komputer riba yang disediakan di bawah program bantuan komputer riba Mitra telah dibaik pulih dan tidak memberi manfaat kepada pelajar SJKT.
Ramanan yang juga bekas Pengerusi Mitra berkata semua komputer riba yang disediakan dibekalkan oleh Google melalui program tanggungjawab sosial korporatnya dan setakat ini sebanyak 6,000 unit telah diagihkan kepada 520 SJKT.
“Kesemua mereka datang dengan jaminan, dan setakat ini, tinjauan mengenai impak menunjukkan pentadbir sekolah dan guru melaporkan kesan positif daripada program itu. Pembekal telah menyelesaikan semua aduan yang dikemukakan oleh sekolah dari semasa ke semasa,” katanya.
Program bantuan komputer riba Mitra dilancarkan pada 2023 untuk membantu pelajar SJKT lebih bersedia memenuhi keperluan pembelajaran abad ke-21 dan mengurangkan jurang digital di sekolah luar bandar dan bandar.
Bagaimanapun, Subramaniam mendakwa tiada satu pun sekolah menggunakan komputer riba terpakai.
“Bukan saya dakwa, tetapi, Mitra sendiri mengakui hanya kurang daripada 30 peratus sekolah memberikan maklum balas kajian keberkesanan.
“Yang itu pun, kita tak pasti sama ada sekolah-sekolah memberi maklum balas atau dipaksa berbuat demikian,” katanya.
Sebelum ini, Mitra menafikan dakwaan Subramaniam bahawa tiada satu pun sekolah menggunakan komputer riba baik pulih yang diedarkan di bawah program bernilai RM3.26 juta.
Menurut Pengerusi JPPK Mitra, P Prabakaran, kajian keberkesanan yang dijalankan dari 22 Ogos hingga 27 September 2024, dengan borang tinjauan dihantar kepada semua 520 buah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), mendapati:
“Sebanyak 161 buah sekolah iaitu 31 peratus daripada 520 sekolah telah memberikan maklum balas.
“Berdasarkan hasil tinjauan, didapati 90 peratus sekolah menyatakan bahawa pemberian komputer riba ini membantu murid sekolah dalam Persekitaran Pembelajaran Maya (Virtual Learning Environment-VLE),” kata Prabakaran.
Tinjauan Malaysiakini sebelum ini di lebih 10 sekolah di Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Johor mendapati komputer riba yang diterima tidak dapat digunakan.