PARLIMEN l Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berdepan cabaran besar selepas sebanyak RM145 bilion dikeluarkan oleh pencarum menerusi empat skim khas semasa pandemik Covid-19.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata pengeluaran itu melibatkan seramai 8.2 juta ahli melalui skim i-Lestari, i-Sinar, i-Citra dan pengeluaran khas.

“Oleh itu, tumpuan kini diberikan untuk mengukuhkan semula simpanan persaraan dan memastikan ahli menikmati pendapatan persaraan yang mampan,” katanya ketika sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.
Amir menegaskan kerajaan tidak bercadang membenarkan pengeluaran baharu, selepas struktur akaun KWSP dirombak dengan mewujudkan Akaun 1, Akaun 2 dan Akaun 3.
Menurutnya, Akaun 3 kini berfungsi sebagai akaun fleksibel untuk pengeluaran kecemasan, manakala Akaun 1 dan 2 kekal sebagai dana simpanan persaraan jangka panjang.
Kerajaan juga sedang meneliti cadangan memperkenalkan skim bayaran pencen secara bulanan bagi ahli baharu KWSP, kata Amir.
“Skim ini masih dalam penelitian dan dijangka diluluskan dalam beberapa tahun akan datang. Ahli sedia ada boleh memilih untuk beralih kepada skim ini,” katanya.

Menjawab soalan Senator Mohd Hasbi Muda mengenai kecukupan simpanan pencarum, Amir mengakui cabaran besar sedang menanti kerana terlalu ramai ahli kini mempunyai baki yang rendah selepas pengeluaran Covid-19.
Katanya, langkah yang diambil kerajaan bersama KWSP adalah memastikan semula momentum caruman, selain mengukuhkan skim persaraan supaya pencarum tidak bergantung kepada simpanan terhakis.