Malaysia Oversight

Rita Rudaini dakwa wujud kepincangan Muafakat MRSM Sungai Besar

By Utusan in September 16, 2025 – Reading time 2 minute
Rita Rudaini dakwa wujud kepincangan Muafakat MRSM Sungai Besar


KUALA LUMPUR: Selebriti tanah air, Rita Rudaini mendakwa, wujud kepincangan berlaku dalam kepimpinan Persatuan Ibu Bapa dan Guru atau dikenali Muafakat di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sungai Besar.

Dalam akaun Instagram story miliknya, Rita berkata, beliau sudah banyak kali menyuarakan masalah yang berlaku dalam Muafakat itu sejak kepimpinan baharu mengambil alih lebih tiga bulan lalu, namun masih tiada tindakan diambil.

Katanya, pihak Muafakat lebih suka mengutip dana tetapi langsung tiada perbincangan dibuat bersama ibu bapa berhubung perancangan program dan ketelusan perbelanjaan yang diguna pakai, malah menyekat suara ibu bapa.

“Dalam MRSM tak ramai ibu bapa daripada golongan berada. Saya sudah banyak kali suarakan, tetapi tidak diendahkan, dan ini jalan terakhir.

“Tindakan ini diambil selepas isu-isu berbangkit gagal diselesaikan selepas pihak Muafakat MRSM Sungai Besar ingkar arahan Muafakat Kebangsaan MARA Malaysia atas beberapa perkara yang diminta untuk dilakukan,” katanya hari ini.

Rita yang merupakan ibu kepada salah seorang pelajar di MRSM Sungai Besar itu turut mendakwa, pihaknya merancang pertemuan antara sekumpulan ibu bapa pelajar Tingkatan 4 bersama Muafakat MRSM Sungai Besar dan Muafakat Kebangsaan MARA Malaysia.

Malangnya, kata beliau, pihak Muafakat MRSM Sungai Besar memungkiri janji walaupun atas jemputan sendiri pihak Muafakat Kebangsaan MARA Malaysia.

“Maka, di sini kami ingin menyerahkan memorandum bantahan selepas melihat sikap Muafakat MRSM Sungai Besar mengabaikan hak ibu bapa dan setelah tiga bulan suara kami disekat.

“Kami rancang pertemuan elok-elok, ikut saluran Muafakat Kebangsaan, tetapi Muafakat MRSM Sungai Besar membatalkan sesuka hati di saat-saat akhir seolah-olah tidak menghormati suara ibu bapa,” katanya.

Dalam pada itu, Rita ketika dihubungi berkata, beliau bersama sekumpulan ibu bapa menyerahkan memorandum bantahan terhadap pihak Muafakat MRSM Sungai Besar yang diterajui Yang Dipertuanya, Prof. Dr. Mohd Roslan Mohd Noor atas pelbagai isu yang berlaku selepas tidak ada maklum balas diterima mengikut saluran betul.

Katanya, memorandum bantahan itu turut diserahkan kepada Muafakat Kebangsaan MARA Malaysia untuk tindakan dan perhatian selanjutnya supaya kepincangan berlaku dapat dipulihkan demi menjaga reputasi MARA dan pengurusan MRSM Sungai Besar. – UTUSAN





Source link