Malaysia Oversight

Ribut terbangkan bumbung SK Seri Perlis, 207 murid terpaksa jalani PdPR

By Utusan in August 26, 2025 – Reading time 2 minute
Ribut terbangkan bumbung SK Seri Perlis, 207 murid terpaksa jalani PdPR


KANGAR: Ribut yang melanda mengakibatkan sebahagian bumbung Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Perlis di sini tercabut dan diterbangkan angin kencang dalam kejadian petang tadi.

Ekoran itu, sebanyak 207 murid sekolah tersebut terpaksa mengikut sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) buat sementara waktu.

Kejadian kira-kira pukul 5.20 petang itu bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kecederaan memandangkan guru dan murid sudah tidak berada di sekolah pada masa itu.

Pengarah Pendidikan negeri, Rose Aza Che Arifin berkata, kejadian itu menjejaskan 10 kelas membabitkan murid tahun satu, dua, prasekolah dan kelas Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI).

Beliau berkata, pihaknya juga telah memaklumkan kepada penjaga murid dan langkah segera sedang diambil supaya kerja baik pulih dapat dijalankan secepat mungkin.

“Kami juga telah memohon bantuan dana daripada Kementerian Pendidikan. Pihak sekolah turut diminta memastikan pembelajaran murid terus dipantau dari semasa ke semasa sepanjang tempoh PdPR itu berlangsung agar mereka tidak ketinggalan,” katanya.

Dalam pada itu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menerusi hantaran di Facebook malam ini meminta JPN Perlis untuk menyediakan laporan penuh kerosakan dan peruntukan bencana akan disalurkan supaya kerja baik pulih itu dapat dilaksanakan segera.

“Syukur tiada murid, guru dan warga sekolah yang terjejas dalam kejadian ini,” katanya.

dc5b7625 a1ca 4fb6 ba28 1a7e2363f6f1

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri () Indera Kayangan, Gan Ay Ling turut meninjau sekolah berkenaan dan mengucapkan terima kasih kepada Pengarah Pendidikan negeri dan guru besar sekolah yang bertindak cepat.

“Kerja baik pulih itu akan dijalankan secepat mungkin. Saya juga menasihatkan agar semua berhati-hati memandangkan sekarang adalah musim hujan,” katanya.-UTUSAN





Source link