PARIT BUNTAR: Sebanyak lapan rumah di tiga buah kampung iaitu Kampung Parit Abas, Parit Haji Said dan Kampung Kuala Gula dilanda ribut awal pagi tadi, dengan lima daripadanya rosak teruk.
Seorang penduduk Kampung Parit Abas, Rozaidah Azraee, 55, berkata, ibunya terdengar bunyi dentuman kuat sebelum bumbung rumah mereka diterbangkan angin.
Menurutnya, keadaan menjadi lebih cemas apabila bumbung bahagian atas rumah tercabut lalu hujan lebat masuk ke ruang kediaman.
“Ini kejadian pertama kami alami sepanjang lebih 30 tahun mendiami kawasan ini,” katanya ketika ditemui selepas menerima kunjungan pegawai Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) Zon Utara hari ini.
Rozaidah berkata, kerugian dianggarkan mencecah RM15,000 hingga RM20,000 melibatkan kerosakan perabot, kelengkapan rumah dan barangan elektrik akibat dimasuki air hujan.
Penduduk Kampung Parit Haji Said, Norhidayah Yusop, 55, turut berdepan detik mencemaskan apabila bumbung rumahnya diterbangkan angin ribut sejauh kira-kira 250 meter ke kawasan sawah padi berhampiran.
Katanya, ribut berkenaan berlaku dua kali iaitu kira-kira 2 pagi dan sekali lagi sekitar 7.30 pagi.
“Kali pertama angin memang kuat tetapi tidak merosakkan apa-apa. Kali kedua baru bumbung tercabut. Kami hanya sedar selepas air mula menitis ke ruang bawah rumah,” katanya.
Norhidayah menambah, sepanjang lebih 60 tahun keluarganya menetap di kampung itu, mereka pernah mengalami ribut pada era 1980-an namun tidak pernah sekuat kali ini.
Sementara itu, Pengurus Besar MAIPk Zon Utara, Mohd. Saufi Ibrahim berkata, pihaknya menerima laporan lapan rumah terjejas dengan lima daripadanya rosak teruk.
Beliau berkata, kejadian berlaku dua kali iaitu sekitar pukul 1 pagi dan sekali lagi kira-kira 6.30 pagi melibatkan tiga kampung berkenaan di Kuala Kurau.
“MAIPk mengambil langkah segera dengan menyalurkan bantuan tunai kecemasan RM500 secara one-off kepada setiap mangsa ribut. Bantuan ini bagi meringankan beban mangsa sementara kerja baik pulih dilaksanakan,” katanya.
Menurut beliau, bantuan susulan berbentuk kerja membaik pulih bumbung rumah akan diberikan berdasarkan penilaian kerosakan sebenar.
“Anggaran kasar kos baik pulih dijangka tidak melebihi siling RM20,000 dan permohonan segera akan dihantar untuk pelaksanaan,” katanya. – UTUSAN