Malaysia Oversight

Ribuan peminat hadir cipta ‘Kenangan Terindah’ bersama Samsons

By Utusan in November 14, 2025 – Reading time 2 minute
Ribuan peminat hadir cipta ‘Kenangan Terindah’ bersama Samsons


PETALING JAYA: Kumpulan popular Indonesia, Samsons disambut ribuan peminat Malaysia ketika mengadakan konsert Samsons Live in Malaysia – Kenangan Terindah pada 9 November lalu di Idea Live Arena di sini.

Konsert itu dianjurkan oleh Orlaith Inc bagi mengimbau memori dua dekad karya kumpulan tersebut yang terus utuh di hati peminat di negara ini.

Samsons membuka tirai persembahan dengan dentuman dram penuh bertenaga sebelum muncul di pentas yang dihiasi elemen api, sambil membawakan lagu pertama, Kisah Tak Sempurna.

Segmen pertama yang penuh semangat itu diteruskan dengan lagu-lagu lain seperti Akhir Rasa Ini, Kehadiranmu, Hey Gadis dan Kecanduan. Peminat turut menyanyi bersama dengan penuh bersemangat, sekali gus menghangatkan suasana di Idea Live Arena malam itu.

Babak-babak berikutnya diwarnai dengan elemen lain seperti bumi, air, udara dan logam, mewakili lima album yang pernah mereka hasilkan sepanjang 22 tahun dalam industri muzik.

Sebanyak 20 lagu dipersembahkan oleh Samsons buat peminat Malaysia, antaranya Tuhan Tak Pernah Salah, Luluh, Bukan Diriku, Naluri Lelaki dan banyak lagi.

Persembahan paling dinantikan sudah tentu ketika kesemua empat anggota Samsons ke tengah pentas untuk menyanyikan lagu keramat mereka, Kenangan Terindah. Peminat bangun dan menyanyikan lagu itu bersama-sama.

Malam itu turut bermakna apabila Samsons mempersembahkan buat pertama kali di mana jua single terbaharu mereka berjudul Tentang Kita, khusus untuk peminat Malaysia.

Vokalis Samsons, Adrian Martadinata berkata, single terbaharu mereka itu cukup istimewa buat para peminat.

“Tentang Kita mengisahkan tentang Samsons dan Samsonia (peminat), dan pertama kali dinyanyikan di Malaysia.

Peminat di Indonesia belum pernah dengar lagu ini kerana ia akan dilancarkan pada 18 November.

“Kami sangat gembira dengan kehadiran peminat malam ini dan tidak sabar untuk datang lagi pada masa akan datang,” katanya kepada Utusan Malaysia.





Source link