Malaysia Oversight

Ribuan berhimpun di Sabah tuntut keadilan untuk Zara

By MkiniBM in August 9, 2025 – Reading time 3 minute
Ribuan berhimpun di Sabah tuntut keadilan untuk Zara


Ribuan berhimpun di tiga bandar di Sabah malam tadi bagi menuntut keadilan untuk pelajar berusia 13 tahun, Zara Qairina Mahathir, yang kematiannya bulan lalu mencetuskan kemarahan orang ramai terhadap isu buli di sekolah.

Di Tawau, kira-kira 3,000 orang memenuhi Bulatan Pasar Chester dengan berpakaian hitam sambil melaungkan slogan dan memegang plakad bertulis Keadilan Untuk Zara dan Hentikan Buli.

Di Sandakan, sekitar 1,000 orang menghadiri majlis nyalaan lilin di esplanad Harbour Mall.

“Kami hanya mahu keadilan untuknya — itu fokus kami malam ini,” kata Mohd Kadir Abdul Jalil, salah seorang penganjur.

Satu lagi majlis nyalaan lilin turut diadakan menara jam di Lahad Datu, namun jumlah kehadiran tidak dapat dipastikan.

Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong, yang turut hadir, berkata himpunan itu bagi memberi mesej jelas kepada bahawa orang ramai mahukan kebenaran.

“Ini melibatkan nyawa, dan siasatan perlu dibuat secara terperinci. Buat masa ini, keluarga masih belum mendapat penjelasan. Siasatan awal dijalankan terlalu pantas dan tidak menyeluruh,” katanya kepada media ketika menghadiri vigil tersebut.

Dia juga menggesa orang ramai berhenti menyebarkan dakwaan tidak sahih di media sosial, kerana spekulasi seperti itu hanya melukakan hati keluarga yang sedang berduka.

c9c5aaafb41748cfe4bbeb3e23f92fdf

“Tanpa fakta, kita tidak sepatutnya berkongsi maklumat yang boleh menyakiti mereka,” ujarnya.

Wong mengaitkan kes ini dengan masalah buli di sekolah-sekolah di Malaysia, dengan menyeru guru serta pengetua mengambil aduan secara serius, serta bukan menganggapnya sekadar “gurauan”.

Di Lahad Datu, orang ramai berkumpul di pusat bandar sambil memegang lilin dalam keadaan senyap sebelum membaca doa. Acar serupa turut dilaporkan di Semporna, dan lebih banyak perhimpunan dijangka diadakan dalam beberapa hari akan datang.

Gelombang acara nyalaan lilin ini bermula pada Ahad lalu di Kota Kinabalu, di mana kira-kira 300 orang hadir meskipun hujan lebat. Acara seterusnya dijadual diadakan di Sipitang pada petang Ahad ini.

Acara-acara berlangusng ketika Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan polis menggali semula kubur Zara bagi membolehkan bedah siasat diadakan, selepas meneliti laporan awal siasatan yang dikemukakan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

AGC memutuskan siasatan lanjut perlu bagi memastikan “semua aspek siasatan dilakukan secara menyeluruh.”

Zara dikatakan jatuh dari bangunan asrama sekolahnya di Papar pada 16 Julai lalu dan meninggal dunia keesokan harinya di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu.

36cae4d66f2565aaf643de16c12be6fd

Pihak keluarga percaya Zara mungkin menjadi mangsa kes buli di sekolahnya.

Ibunya, Noraidah Lamat, mendesak kubur Zara digali semula selepas mengingati terdapat kesan lebam di belakang tubuh anaknya ketika memandikan jenazah.

Peguam keluarga mengkritik siasatan awal polis yang dianggap tidak menyeluruh, serta mendesak inkues diadakan dan melantik penyiasat lebih berpengalaman dari Bukit Aman.

Polis sebelum ini menemu bual 60 individu termasuk pelajar, guru, dan ibu bapa, ketika kemarahan orang ramai semakin memuncak.

Peguam keluarga menafikan khabar angin bahawa Zara dimasukkan dalam mesin basuh dan menggesa sesiapa yang mempunyai maklumat sahih agar terus menyalurkannya kepada polis.

Mereka mengingatkan orang ramai bahawa penyebaran gambar atau maklumat peribadi pelajar adalah melanggar undang-undang di negara ini.

3acef957d5bbc9410fa4ba64a78d3ea2

Bagi mereka yang berkumpul malam tadi, kes ini menjadi titik tolak terhadap gesaan agar menangani masalah buli di sekolah.

“Jika kita tidak bersama kanak-kanak ini, siapa lagi yang akan melindungi mereka?” kata Wong.

Seorang pelajar yang berucap di Tawau turut menyuarakan pandangan sama: “Ini bukan saja tentang keadilan untuk Zara, tetapi juga tentang setiap anak yang berhak berasa selamat di sekolah.”

Satu lagi acara nyalaan lilin dijangka diadakan esok di Esplanad Sipitang.



Source link