Reman terhadap penyanyi rap, Wee Meng Chee atau lebih dikenali sebagai Namewee, dilanjutkan tiga hari lagi bagi membantu siasatan kes kematian seorang pempengaruh wanita warga Taiwan.
Ia disahkan oleh peguamnya, Joshua Tay yang memaklumkan lanjutan reman diputuskan oleh majistret selepas mendengar hujah kedua-dua pihak hari ini.
“Kami membantah tambahan reman, namun selepas mendengar hujah daripada kedua-dua pihak, majistret memutuskan untuk melanjutkan tempoh reman selama tiga hari lagi, sehingga Khamis, 13 November,” katanya kepada pemberita di Ibu pejabat polis daerah Dang Wangi Kuala Lumpur, hari ini.
Menurut Tay, permohonan lanjutan reman oleh polis dibuat atas dasar siasatan kes berkenaan masih belum selesai.
“Buat masa ini siasatan sedang berjalan mengikut prosedur. Anak guam saya berada dalam keadaan baik, sihat dan bersemangat,” katanya lagi.
Namewee merupakan individu terakhir bersama pempengaruh Taiwan, Hsieh Yun Hsin sebelum ditemukan mati dalam tab mandi di bilik sebuah hotel di Kuala Lumpur pada 22 Oktober lalu, justeru dianggap panting dalam membantu siasatan.
Dia menyerahkan diri kepada polis pada Rabu minggu lalu.
Polis dilaporkan masih menunggu laporan penuh bedah siasat serta analisis toksikologi bagi mengenal pasti punca sebenar kematian wanita berusia 33 tahun itu.
Kes itu yang pada awalnya diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR), kini disiasat sebagai kes bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.






