Malaysia Oversight

Remaja tawar perkhidmatan seksual di telegram dihantar ke JKM

By MkiniBM in September 30, 2025 – Reading time 1 minute
Remaja tawar perkhidmatan seksual di telegram dihantar ke JKM


Remaja 15 tahun yang didakwa menawarkan perkhidmatan seksual melalui aplikasi Telegram kini diletakkan di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kata Ketua Polis Datuk Mohd Yusoff Mamat.

Beliau berkata tindakan itu diambil selepas polis menilai faktor umur serta latar belakang remaja tersebut yang memerlukan perlindungan dan bimbingan.

Beliau berkata siasatan awal mendapati remaja itu mula terjebak dengan aktiviti itu selepas mengalami episod hitam dalam hidup selain akibat tekanan hidup.

“Kita tidak menolak kemungkinan wujud pihak mengambil kesempitan hidup remaja itu dan mengajarnya menggunakan Telegram untuk mencari pelanggan. Isu ini tidak boleh dilihat secara sempit sebagai perbuatan jenayah semata-mata, sebaliknya memerlukan pendekatan pemulihan menyeluruh,” katanya.

Mohd Yusoff berkata demikian selepas menghadiri Istiadat Pengurniaan Kehormatan Kebesaran Negeri , Istiadat Menjunjung Duli dan Istiadat Menyembah Ucapan Tahniah dan Taat Setia sempena Hari Keputeraan Sultan Sultan Muhammad V yang ke-56 di Istana Balai Besar, di Kota Bharu, semalam.

Beliau berkata remaja yang tinggal bersama bapa di Pasir Puteh selepas orang tua berpisah itu masih muda dan penting untuk pihak berwajib memberi kaunseling serta peluang kepadanya membina semula kehidupan.

Sebelum ini, media melaporkan seorang ibu tunggal membuat laporan polis kerana mengesyaki anak perempuannya menawarkan perkhidmatan seksual melalui aplikasi tersebut.

– Bernama



Source link