Seorang remaja perempuan maut manakala lima lagi cedera selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dipandunya terbabas sebelum melintang di tengah jalan dan dirempuh kenderaan utiliti sukan (SUV) petang semalam.
Kejadian itu berlaku di Kilometer 148.3 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) arah barat, dekat Maran, Pahang.
Ketua Polis Daerah Maran, Supt Wong Kim Wai, berkata dalam kemalangan kira-kira jam 5.45 petang itu, Nik Nur Emylia Najwa Ismail, 19, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian kepala dan badan.
Wong berkata, mangsa yang memandu Perodua Alza putih dipercayai dalam perjalanan dari arah Kuantan menghala ke Gua Musang, Kelantan bersama empat rakan dan seorang bayi.
Bagaimanapun, kata Wong, setibanya di lokasi kejadian, kenderaan terbabit dikatakan hilang kawalan dan merempuh penghadang jalan sebelum berpusing dan melintang di tengah laluan lebih raya tersebut.
“Sebuah Proton X70 dipandu seorang pesara wanita berusia 63 tahun dari arah sama tidak sempat mengelak dan merempuh bahagian sisi kiri kenderaan tersebut.
“Rempuhan kuat itu mengakibatkan pemandu MPV meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dia berkata, pemandu SUV berkenaan, Norita Mohd Noh, 63, mengalami kecederaan ringan manakala empat penumpang MPV iaitu Muhammad Haris Danial Zainal, 20; bayi lelaki berusia setahun, Muhammad Ayden Nuh Abdul Fatah; serta dua pelajar sekolah menengah, Nur Damia Qistina Abdullah, 17, dan Nor Muhammad Syukri Helmi Nor Azmy, 17, cedera dan kini dirawat di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh.
“Kesemua mangsa yang cedera menerima rawatan mengikut tahap kecederaan, ada yang ditempatkan di zon merah dan zon kuning hospital bagi rawatan lanjut,” jelasnya.

Wong memaklumkan, siasatan awal mendapati nahas berlaku kerana pemandu MPV terbabit – yang tidak memiliki lesen – gagal mengawal kenderaan sehingga terbabas dan melintang di tengah jalan, sekali gus menjadi punca kemalangan.
Semua mangsa dalam MPV berasal dari Gua Musang, Kelantan, manakala pemandu SUV pula dari Subang Jaya, Selangor.
“Pihak polis mengklasifikasikan kes mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian,” katanya.