Malaysia Oversight

Remaja akan dituduh buli, bukan sebabkan kematian Zara

By MkiniBM in August 19, 2025 – Reading time 2 minute
Remaja akan dituduh buli, bukan sebabkan kematian Zara


Lima remaja yang dijadualkan didakwa di mahkamah esok akan dituduh atas kesalahan membuli Zara Qairina Mahathir dan bukan berkaitan dengan menyebabkan kematiannya, jelas Jabatan Peguam Negara (AGC).

Sehubungan itu, AGC menegaskan iinkues berhubung kematian pelajar tingkatan satu itu akan diteruskan pada 3 September bagi mengetahui punca kematiannya.

Penjelasan ini dibuat selepas peguam yang mewakili keluarga Zara menggesa peguam negara menimbang semula keputusannya dan mendakwa remaja terbabit di bawah Seksyen 507D(2) Kanun Keseksaan, yang meliputi kesalahan mendorong seseorang hingga menyebabkan kecederaan pada dirinya sendiri atau orang lain.

“Berdasarkan penelitian Jabatan ini terhadap kertas siasatan, pertuduhan di bawah seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan dibuat kerana pertuduhan ini merujuk kepada perbuatan buli sahaja dan tidak mempunyai kaitan dengan kematian Zara Qairina.

“Kenyataan peguam di perenggan empat pada kenyataan media tersebut adalah bersifat spekulatif tanpa disokong oleh fakta yang tepat.

“Oleh yang demikian, Jabatan ini sekali lagi menegaskan bahawa pertuduhan di bawah seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan di dalam kes ini adalah bersandarkan kepada bukti dan fakta yang diperoleh hasil daripada siasatan yang dijalankan.

“Dalam hal tersebut, prosiding inkues masih perlu dijalankan bagi menentukan punca kematian sebenar Zara Qairina.” kata AGC dalam satu kenyataan hari ini.

Seksyen 507C(1) meliputi kesalahan menggunakan atau mengeluarkan kata-kata atau komunikasi yang mengugut, menghina, atau bersifat kasar – yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara setahun, atau denda, atau kedua-duanya sekali.

Hukuman di bawah Seksyen 507D(2) pula memperuntukkan hukuman serupa bagi kesalahan mendorong seseorang hingga menyebabkan kecederaan, tetapi tempoh penjara boleh meningkat sehingga 10 tahun jika mangsa cuba membunuh diri atau membunuh diri akibat dorongan tersebut.

Gesaan tuduhan lebih berat

Terdahulu hari ini, pasukan peguam yang mewakili keluarga Zara menggesa AGC mendakwa lima remaja tersebut dengan pertuduhan yang lebih serius.

“Kami merayu kepada peguam negara supaya menimbang semula untuk mendakwa remaja-remaja itu di bawah Seksyen 507D(2) Kanun Keseksaan.

“Sekiranya bukti sedia ada masih tidak mencukupi untuk memastikan sabitan di bawah peruntukan itu, kami berharap pendakwaan boleh ditangguhkan sementara siasatan lanjut dijalankan dari sudut ini.

“Tetapi jika ada bukti mencukupi untuk mendakwa semua remaja itu dengan kesalahan lebih serius di bawah Seksyen 507D(2), kami memohon agar mereka didakwa di bawah peruntukan tersebut,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan tersebut ditandatangani enam peguam – iaitu Hamid Ismail, Shahlan Jufri, Rizwandean Borhan, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh, dan Farrah Nasser.

Kemarahan awam

Zara disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I pada 17 Julai lalu.

Dia dimasukkan ke hospital selepas ditemui tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama SMKA Tun Datu Mustapha di Papar pada jam 4 pagi, 16 Julai.

Polis pada awalnya mengklasifikasikan kes itu sebagai “mati mengejut” dan tidak menjalankan bedah siasat selepas ibunya menandatangani surat kebenaran menolaknya, sesuatu yang kini dipersoalkan kerana didakwa melanggar prosedur polis.

Beberapa demonstrasi telah diadakan sejak insiden itu, menuntut keadilan bagi kematian Zara yang disyaki melibatkan unsur jenayah.



Source link