Rekod Dunia Lewah Jam Kini 9.13 GHz Pada Cip Intel Core i9-14900KF
Effi Saharudin
Dua dekad lalu antara aktiviti yang digemari pelajar universiti ialah melakukan lewah jam atau overclocking bagi meningkatkan prestasi PC yang dimiliki. Gabungan kebosanan melampau (tiada internet pantas dan universiti di tempat jin bertandang) dan ingin menjadi juara di forum LowYat menjadi sebab mengapa saya juga terjebak dengan aktiviti ini.

Minggu ini rekod dunia lewah jam telah dipecahkan oleh wytiwx seorang pengguna China. Cip Intel Core i9-14900KF dilewah jam ke 9130.33 MHz (9.13 Ghz) menggunakan sistem penyejukan helium cecair. Tanpa lewah jam cip ini beroperasi pada kelajuan antara 3.2GHz dan 6.0GHz. Rekod dunia baharu ini hanya 13 MHz lebih pantas berbanding rekod sebelum ini yang juga dicatatkan menggunakan Intel Core i9-14900KF.
Peningkatan 13 MHz bukan jumlah yang besar tetapi ia adalah lebih pantas berbanding cip Intel 386 yang dilancarkan pada tahun 1985 dengan kelajuan 12.5 MHz. Dalam masa 40 tahun, kelajuan maksimum cip pemproses Intel sudah meningkat lebih 720 kali ganda.
Komen
Sila log masuk untuk menghantar komen.