Rekaan dan Spesifikasi Samsung Galaxy XR Tertiris
Effi Saharudin
Samsung Galaxy XR ialah set kepala realiti terimbuh (XR) pertama daripada Samsung dengan ia akan menggunakan sistem operasi baharu Android XR. Terdapat ura-ura ia akan akhirnya dilancarkan bulan ini selepas tarikh asal diubah selepas Vision Pro dilancarkan. Laman Android Headlines minggu ini mendedahkan bukan sahaja rekaan penuh tetapi juga antaramuka serta spesifikasi peranti yang dibangunkan menggunakan nama kod Project Moohan.

Pertama sekali bahagian hadapan Galaxy XR dilengkapi enam kamera serta sensor. Ini membolehkan mod tembus digunakan serta menjejak pergerakan tangan pemakai. Dua lagi kamera diletakkan di bahagian bawah dengan kedua-duanya digunakan untuk menjejak dua tangan apabila ia tidak dapat dilihat oleh kamera hadapan. Di hadapan juga terdapat satu sensor menjejak kedalaman di bahagian dahi.

Menurut Android Headlines, terdapat empat lagi sensor di bahagian dalam untuk melakukan penjejakan mata pemakai. Ini meletakkan kemampuan Galaxy XR sama seperti Vision Pro. Satu lagi persamaan ialah set kepala menyokong lensa diopter untuk pengguna yang rabun. Dengan ini Galaxy XR boleh digunakan tanpa perlu memakai cermin mata sehingga menyebabkan ia menjadi kurang selesa.

Tiada skrin sekunder di luar tetapi pada tangkai kanan terdapat pad sesentuh untuk kawalan gestur sementara butang pelancar untuk aplikasi dan butang laras audio. Pada tangkai kiri terdapat sambungan kepada pek kuasa yang sama seperti di Vision Pro. Dua lubang penyejukan diletakkan di bahagian atas dan empat pula di bahagian bawah.

Bahagian muka terdapat span yang menghalang cahaya dan menjadikan pemakaian lebih selesa. Di bahagian belakang pula diletakkan tombol berputar untuk mengetatkannya kepada kepala. Mekanisme pengetat ini mirip dengan yang digunakan pada PlayStation VR2. Walaupun boleh mengesan pergerakan tangan, Galaxy XR akan ditawarkan dengan dua alat kawalan fizikal khusus untuk permainan video.
Dari segi spesifikasi pula, Galaxy XR dilengkapi skrin 4K micro-OLED, dikuasakan oleh cip Snapdragon XR2+ Gen 2, antaramuka Samsung One UI XR dan bateri yang boleh bertahan sehingga 2.5 jam dengan sekali caj. Walaupun pelancaran dijangka akan berlangsung dalam masa terdekat, Samsung sebelum ini mengesahkan Galaxy XR akan hanya dijual di pasaran tertentu dalam jumlah terhad pada peringkat awal.
Komen
Sila log masuk untuk menghantar komen.






