Pembuat dasar perlu berani mengatasi stigma sosial dan kelemahan dasar sedia ada bagi memperkukuh hala tuju negara ke arah pendekatan lebih berperikemanusiaan dan holistik dalam menangani isu dadah, kata Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Hak Asasi Manusia, William Leong Jee Keen.
Berucap pada Persidangan Dasar Dadah Malaysia 2025, William menegaskan bahawa penagihan dadah bukan isu jenayah, tetapi masalah kesihatan awam dan sosial yang memerlukan pendekatan berasaskan pemulihan, pendidikan dan sokongan komuniti.
Dia merujuk kepada Rang Undang-Undang (RUU) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) (Pindaan) 2024 yang membezakan antara pengguna dan pengedar, serta memberi tumpuan kepada rawatan berbanding hukuman.
“Langkah ini merupakan permulaan penting tetapi kita perlu berani berdepan kelemahan dasar sedia ada dan stigma sosial yang menghalang kemajuan,” katanya.
RUU tersebut, yang diluluskan di Dewan Rakyat pada 18 Julai 2024 dan Dewan Negara pada 1 Ogos 2024, memperkenalkan dekriminalisasi separa, di mana pengguna yang memiliki dadah untuk kegunaan sendiri dirujuk kepada rawatan di pusat AADK atau pusat swasta berlesen dan bukan dipenjara.

Langkah ini menandakan peralihan daripada pendekatan menghukum kepada pendekatan kesihatan dan kemanusiaan.
Namun, William berkata, cabaran paling besar ialah sikap masyarakat dan stigma terhadap penagih.
“Selama berpuluh tahun, masyarakat melihat penagih sebagai pesalah moral. Kita perlu mengubah pemikiran retributif (berorientasikan hukuman) ini — mereka tidak sepatutnya dihukum, tetapi dibantu untuk pulih,” ujarnya.
Kekangan dana
Pada sesi soal jawab, Setiausaha Agung Malaysian Substance Abuse Council (MASAC), Raja Azizan Suhaimi Raja Abd Latif, menekankan pentingnya penglibatan lebih aktif organisasi masyarakat sivil dan pusat pemulihan.
Mewakili 49 NGO dan pusat pemulihan seluruh negara, dia melahirkan kebimbangan terhadap kekangan dana dan keperluan sokongan berterusan kepada kumpulan akar umbi.
“Kami di lapangan bukan tidak mahu membantu, tetapi 90 peratus tenaga kami dihabiskan untuk mencari dana bagi menjalankan program pemulihan.
“Ramai di antara kami berasa bersalah kerana tidak dapat membantu lebih ramai penagih akibat kekangan ini. Saya berharap kerajaan dapat meneliti perkara ini dan memberi sokongan sewajarnya,” katanya dengan nada serius.
MASAC, yang ditubuhkan pada 10 Disember 2014, merupakan gabungan badan bukan kerajaan, pusat pemulihan swasta dan penyedia perkhidmatan pemulihan, dan berperanan menyelaras usaha meningkatkan kualiti rawatan serta pemulihan di seluruh negara.






