Malaysia Oversight

REE: Kerajaan Negeri Sembilan jangka kutip hasil RM18 juta

By Utusan in August 4, 2025 – Reading time 2 minute


SEREMBAN: Negeri Sembilan menjangkakan kutipan hasil baharu bagi unsur nadir bumi (REE) di negeri ini adalah sebanyak sebanyak RM18 juta.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, hasil baharu REE yang telah dikenal pasti di beberapa daerah seperti di Kuala Pilah dan Jelebu dijangka bakal memberi sumbangan besar kepada hasil negeri mulai tahun 2027.

Negeri menjangkakan anggaran kutipan hasil melalui dua lesen tenemen mineral yang telah diluluskan dengan anggaran kutipan hasil sebanyak RM18 juta,” katanya pada Persidangan Kedua Penggal Ketiga Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Yang Ke-15 hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Datuk Seri Mohamad Hasan (-Rantau) yang ingin mengetahui hasil baharu atau semakan semula cukaI bersifat lebih tersasar dan progresif bagi membantu golongan yang memerlukan sokongan.

Dalam pada itu, Aminuddin berkata, negeri juga melaksanakan Pindaan Cukai Tanah (PCT) dan kadar cukai petak mengikut Kanun Tanah Negara dan Akta Hakmilik Strata setiap sepuluh tahun dengan peningkatan hasil cukai tanah dengan anggaran sebanyak RM400 juta yang dijangka dilaksanakan pada tahun 2029.

Menurut beliau, antaranya penyemakan semula kadar dan pengenaan levi bagi urusan urusniaga, bukan urusniaga dan pelupusan tanah terhadap warganegara asing, penyemakan kadar lesen pendudukan sementara dan pajakan tanah rizab.

Menteri Besar turut berkata, dalam menjana tambahan hasil baharu kerajaan negeri, Jabatan Perhutanan telah mengkaji semula Kaedah-Kaedah Hutan berkaitan ekopelancongan dan telah mendapat kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri untuk mengenakan caj bayaran Fi Konservasi bagi kemasukan ke Taman Eko Rimba terpilih.

Menurutnya, caj bayaran itu dengan kadar RM3 bagi warganegara, RM6 bagi bukan warganegara serta dikecualikan bayaran kepada kanak-kanak, warga emas dan orang kurang upaya.

“Kutipan fi juga akan disalur kembali oleh kerajaan negeri kepada aktiviti pemuliharaan hutan dan penyelenggaraan fasiliti awam di taman ekorimba,” katanya.-UTUSAN





Source link