Reddit dan Kick Juga Haram Diakses Pengguna Bawah 16 Tahun Di Australia
Effi Saharudin
Australia mengetatkan lagi halangan akses media sosial untuk pengguna bawah 16 tahun dengan memasukkan pula Reddit dan Kick ke dalam senarai kawalan. Menerusi halangan ini, laman yang membenarkan akses kepada pengguna bawah umur boleh dikenakan denda A$49.5 juta (~RM 135 juta) apabila rang undang-undang mula berkuatkuasa 10 Disember depan.
Senarai lengkap laman yang perlu memenuhi arahan kerajaan telah diterbitkan oleh Pesuruhjaya eKeselamatan Australia. Laman yang terlepas daripada penguatkuasaan setakat ini hanyalah Discord, GitHub, LEGO Play, Roblox, Steam, Steam Chat, Google Classroom, Messenger, WhatsApp dan YouTube Kids kerana sudahpun mempunyai ciri menghalang pengguna bawah umur secara terbina.

Walaupun senarai telah diterbitkan, Pesuruhjaya eKeselamatan Australia mengatakan ia bukan senarai statik kerana sifat teknologi yang pantas berubah. Apabila platform teknologi baharu muncul atau platform sedia ada mengubah tujuannya, mereka mungkin menilai semula perkhidmatan tersebut.
Langkah mengharamkan terus penggunaan platform yang dilabel sebagai “media sosial” Australia ialah yang paling ketat di dunia setakat ini dan ia kini menjadi templat penguatkuasaan di negara lain seperti Indonesia. Di Malaysia, Kementerian Komunikasi telahpun mencadangkan sistem eKYC digunakan pemilik platform atas alasan “melindungi pengguna bawah umur” tetapi menerima tentangan pendokong hak kebebasan bersuara kerana ia boleh menjadi sistem memantau pengkritik kerajaan di masa hadapan.
Komen
Sila log masuk untuk menghantar komen.






