Realme sekali lagi mencuri perhatian dengan pengenalan telefon pintar terbaharu yang hadir dengan kapasiti bateri besar 10,000mAh disertakan pula dengan kipas penyejuk terbina. Ciri ini bukan sahaja jarang ditemui dalam telefon pintar biasa malah ia lazimnya dikaitkan dengan produk berfokuskan permua.
Kehadiran kipas penyejuk terbina ini menunjukkan Realme menyasarkan kepada pengguna aktif seperti pemain permua tegar dan mereka yang memerlukan peranti berprestasi tinggi tanpa risiko pemanasan melampau. Setakat ini, tiada maklumat lanjut mengenai spesifikasi seperti cip, saiz skrin, sistem kamera atau perisian. Realme hanya memperlihatkan rekaan belakang peranti lalu menambahkan elemen misteri menjelang pelancaran rasmi pada 27 Ogos 2025.

Realme mungkin akan memperkenalkan lebih daripada satu model dalam acara tersebut, memandangkan mereka pernah mempamerkan peranti berkapasiti 15,000mAh. Pelancaran ini berpotensi menjadi titik perubahan dalam strategi Realme khususnya dalam segmen peranti dengan bateri berkapasiti besar.