Realme GT 8 Pro Aston Martin F1 Edition Kini Dilancarkan Secara Rasmi Di China
Amy Maizuraa
Realme GT 8 Pro Aston Martin F1 Edition kini rasmi di China dengan penawaran eksklusif berinspirasikan Formula 1. Hasil kerjasama antara realme dan pasukan Aston Martin F1, peranti menampilkan reka bentuk Racing Lime yang menyerlah, tekstur gentian karbon serta logo perak ikonik. Panel belakang pula direka dengan lengkungan ergonomik bagi memastikan keselesaan genggaman sepenuhnya.

Model edisi khas ini hadir dalam satu konfigurasi sahaja iaitu 16GB RAM dan storan 1TB. Ia menggunakan cip Snapdragon 8 Elite Gen 5 yang dipadankan dengan pemproses paparan R1 bagi menjamin prestasi lancar serta pengurusan haba lebih cekap. Paparan AMOLED 2K 6.79″ menyokong kadar segar semula 144Hz manakala tahap kecerahan mencecah 7,000 nits untuk paparan yang lebih terang.

Bateri 7000mAh menyokong pengecasan pantas 120W berwayar serta nirwayar 50W. Sistem kamera peranti menggabungkan sensor utama 50MP, ultra lebar 50MP dan telefoto periskop 200MP dengan kerjasama Ricoh GR. Ciri tambahan lain merangkumi antaramuka bertema F1 yang menampilkan ikon eksklusif, animasi pengecasan, kertas dinding (wallpaper) bergerak dan tera air (watermark) kamera khas.

Kotak edisi koleksi turut disertakan dengan pin F1 khas, kerangka telefon boleh diubahsuai dan model kereta lumba mini dengan harga jualan pada 5499 Yuan (~RM3,216). Buat masa ini, masih belum dapat dipastikan sama ada model ini akan memasuki pasaran Malaysia. Namun sebelum ini, Realme GT7 juga pernah ditawarkan dalam edisi khas seumpamanya.
Komen
Sila log masuk untuk menghantar komen.






