Realme Akan Lancarkan Telefon 10,000 mAh Awal 2026
Effi Saharudin
Era bateri sekadar berkapasiti empat angka sahaja pada telefon pintar akan berakhir dengan inovasi dari China akan menjadikannya realiti dalam masa terdekat. Memang diakui sebelum ini wujud peranti Energizer dengan kapasiti 18,000 mAh namun ia tidak dipasarkan secara meluas kerana terlalu tebal. Tetapi awal tahun depan, Realme akan mula menawarkan telefon dengan bateri 10,000 mAh.
Ini disahkan oleh timbalan presiden Realme Chase Xu. Ia bukan sahaja dilengkapi bateri besar tetapi akan mempunyai rekaan tubuh yang nipis. Teknologi bateri silikon karbon membolehkan bateri besar tetapi nipis dibangunkan oleh pengeluar di China. Hanya beberapa minggu lalu Realme memperlihatkan peranti konsep dengan bateri 15,000 mAh dan sistem penyejukan “penyaman udara” terbina.

Tetapi sebelum Realme, Honor mungkin akan melancarkan peranti 10,000 mAh mereka lebih awal kerana Honor Power 2 dijangka dilancarkan dalam masa beberapa minggu sahaja lagi.
Apabila peranti dengan bateri besar ini dilancarkan kelak, Malaysia pasti akan menjadi destinasi awal menerimanya kerana tidak mempunyai kekangan seperti di EU dan Amerika Syarikat. Kita sudahpun mempunyai beberapa peranti dengan kapasiti 7000 mAh seperti Poco M7 di pasaran tempatan. Apabila bateri besar menjadi norma baharu kelak, kita boleh mula meninggalkan powerbank di rumah.
Komen
Sila log masuk untuk menghantar komen.