Malaysia Oversight

Razarudin dilantik pengerusi bukan eksekutif Classita Holdings

By MkiniBM in August 11, 2025 – Reading time 2 minute
Razarudin dilantik pengerusi bukan eksekutif Classita Holdings


Classita Holdings Bhd melantik bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain sebagai Pengerusi Bukan Eksekutifnya, berkuat kuasa serta-merta.

Pelantikan beliau menandakan satu langkah penting dalam komitmen syarikat terhadap pembangunan yang sejajar dengan kepentingan awam dan tadbir urus yang lebih kukuh ketika ia memasuki fasa pertumbuhan baharu, kata Classita dalam satu kenyataan hari ini.

Ia juga berkata peralihan kepimpinan ini bertepatan dengan kemunculan NexG Bhd sebagai pemegang saham utama Classita berikutan pengambilalihan terbaharunya sebanyak 32.61 peratus pegangan ekuiti dalam syarikat itu.

Dengan pengalaman berkhidmat selama beberapa dekad dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM), Razarudin membawa pemahaman secara langsung tentang cabaran yang dihadapi oleh penjawat awam – khususnya dalam mendapatkan perumahan yang mampu milik dan bermaruah.

“Sejajar dengan itu, Classita berhasrat untuk mencadangkan pembinaan perumahan khusus kepada Koperasi Polis Diraja Malaysia (KPDRM) di tanah miliknya di Ulu Kelang, yang khusus untuk menyokong kebajikan dan keperluan perumahan anggota polis serta keluarga mereka,” katanya.

Classita berkata langkah itu selaras dengan peralihan syarikat ke arah pembangunan yang bertanggungjawab secara sosial dan sejajar dengan prinsip MADANI.

“Inisiatif ini bukan tentang hartanah; ia tentang tujuan. Dengan mencadangkan perkara ini kepada KPDRM, kami mewujudkan penyelesaian yang saling menguntungkan – meningkatkan taraf hidup mereka yang berkhidmat untuk negara sambil menyelaraskan masa depan Classita dengan pembangunan bermakna yang dipacu oleh nilai sosial,” kata Razarudin.

Sebagai sebahagian daripada penstrukturan semula dalaman syarikat, Ng Keok Chai yang sebelum ini merupakan Pengerusi Eksekutif, telah dilantik semula sebagai Pengarah Eksekutif, yang mana beliau akan terus memainkan peranan aktif dalam memacu pelaksanaan projek dan pembangunan perniagaan di bawah hala tuju baharu.

Bernama



Source link