PARLIMEN l RSN Rayer (PH-Jelutong) memfailkan usul memohon supaya Awang Hashim (PN-Pendang) dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana didakwa memberi peringatan kepada kerajaan mengenai rusuhan kaum 13 Mei 1969.
“Saya ingin menyatakan di sini bahawa apa yang diluahkan oleh Pendang (Awang) merupakan satu hasutan.
“Ini merupakan satu perkara yang melanggar peraturan Dewan dan pada masa yang sama merupakan satu kesalahan di bawah Akta Hasutan.
“Jadi, pada hari ini saya telah mengemukakan satu usul kepada setiausaha Dewan Rakyat untuk merujuk Yang Berhormat Pendang ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan untuk satu tindakan diambil terhadap beliau kerana kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan semalam,” kata Rayer kepada pemberita di Parlimen hari ini.
Semalam Dewan Rakyat kecoh selepas Awang memberi peringatan kepada kerajaan mengenai rusuhan kaum 13 Mei 1969.
Ini selepas dia mendakwa tiada pelan spesifik buat bumiputera dalam Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13).
Ketika menyentuh rancangan khusus kepada Kampung Baru Cina dalam RMK13, Awang bertanya kenapa tiada sebarang pelan spesifik untuk kaum bumiputera.
“Kita setuju pembiayaan kepada Kampung Baru Cina tak ada masalah. Tapi, dalam RMK13 ini secara jelasnya tiada satu spesifik pembangunan untuk bumiputera yang mana bila kita melihat semula peristiwa 13 Mei itu salah satu elemen adalah tekanan ekonomi kepada kaum bumiputera.
“Maka, wujudlah RMK1 hingga RMK13 sekarang untuk imbang balik pendapatan, dan juga ekonomi antara kaum ini. RMK13 tak ada spesifik kepada kaum bumiputera.
“Adakah kerajaan nak balik kepada peristiwa 13 Mei ini?” soal Awang ketika mencelah ucapan perbahasan Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin.
Bagaimanapun, Rayer yang tidak puas hati meminta Timbalan Speaker Alice Lau mengarahkan Awang tarik balik kenyataannya.
Alice sebaliknya mencadangkan Rayer supaya mengemukakan usul.
Mengulas lanjut, Rayer mengingatkan wakil rakyat bahawa kekebalan di Dewan Rakyat bukan muktamad.
“Kita perlu sedar bahawa di dalam Dewan Rakyat kekebalan itu adalah bukanlah kekebalan 100 peratus.
“Sekiranya kita menyentuh perkara-perkara yang menjadi kesalahan di bawah Akta Hasutan seseorang itu boleh dituduh di mahkamah,” katanya.
Dia turut mencabar pemimpin parti Gerakan, Urimai dan MIPP yang merupakan parti-parti sekutu PN untuk menyatakan pendirian mereka berhubung kenyataan Awang.
Awang sebelum ini pernah dirujuk ke JK Parlimen kerana didakwa mengeluarkan kenyataan fitnah mengenai isu wang tunai RM94 juta yang didakwanya ditemui di kediaman seorang bekas menteri.
Laporan oleh B Nantha Kumar, Zarrah Morden dan Alyaa Alhadjri