Malaysia Oversight

‘Rayer cuba alih perhatian dengan tumpu pada kenyataan 13 Mei pemimpin PAS’

By MkiniBM in August 6, 2025 – Reading time 2 minute
'Rayer cuba alih perhatian dengan tumpu pada kenyataan 13 Mei pemimpin PAS'


Seorang pemimpin Urimai mengecam ahli parlimen DAP kerana menurutnya cuba mengalihkan perhatian orang ramai daripada kelemahan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) kepada kenyataan seorang Ahli Parlimen berhubung rusuhan kaum 13 Mei 1969.

Setiausaha Urimai Satees Muniandy berkata sama ada Ahli Parlimen Pendang Awang Hashim melakukan sebarang kesalahan atas kenyataannya itu terpulang kepada Speaker Dewan Rakyat atau Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan Parlimen untuk membuat keputusan.

“Bagaimanapun, apa yang dilakukan oleh Ahli Parlimen Jelutong (RSN Rayer) adalah untuk mengalihkan tumpuan orang ramai daripada kandungan RMK13 kepada sentimen perkauman sekitar 13 Mei.

“Ahli Parlimen dari Pakatan Harapan (PH) menyedari sepenuhnya kelemahan serius dalam RMK13 yang dibentangkan perdana menteri.

“Tidak dapat mempertahankan RMK13, mereka terpaksa mengalih perhatian rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dua hari lalu, Dewan Rakyat kecoh selepas Awang menyorot peruntukan untuk kampung baharu Cina, mempersoalkan mengapa perhatian serupa tidak diberikan kepada bumiputera.

Dia mendakwa tiada pembangunan khusus untuk bumiputera dalam RMK13, sambil mengingatkan bahawa salah satu punca peristiwa 13 Mei berlaku ialah tekanan ekonomi kepada bumiputera.

Dia kemudian mempersoalkan sama ada ingin melihat satu lagi insiden 13 Mei.

Semalam, Rayer memfailkan usul untuk merujuk Awang kepada Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan Parlimen berhubung kenyataan itu, sambil menegaskan ahli parlimen tidak menikmati imuniti mutlak di bawah keistimewaan parlimen.

Awal hari ini, senator DAP Dr A Lingeshwaran menyifatkan sekutu bukan Melayu Perikatan Nasional (PN) sengaja memekakkan telinga terhadap kenyataan Awang, antara lain menyebut Urimai dan Parti Kemajuan Malaysia pimpinan P Waythamoorthy.

Menyentuh RMK13, Satees menyorot kepada kenyataan berbeza yang dibuat mengenai masyarakat Cina dan India.

Pemimpin Urimai itu menyatakan pembangunan perkampungan baharu Cina secara jelas disebut dalam RMK13 tetapi hanya terdapat butiran yang samar-samar dalam menangani isu yang melanda masyarakat India.

“Kita tidak menentang rancangan khusus untuk pembangunan kampung baharu Cina dalam RMK13. Namun bagaimana pula dengan masyarakat India yang masih tinggal di estet dan kawasan setinggan pinggir bandar?

“Selepas hampir 70 tahun merdeka, bukan sahaja pemilikan rumah dalam kalangan kaum India masih rendah, malah mereka juga sering berdepan prejudis perkauman apabila cuba menyewa rumah.

“Apakah dasar negara untuk menangani perkara ini? Jika pembangunan perkampungan baharu Cina boleh dimasukkan secara jelas dalam RMK13, apakah yang menghalang daripada menangani isu berpuluh tahun yang dihadapi oleh masyarakat India?” soal Satees.

Dia mendakwa beberapa pemimpin PH telah memberi jaminan palsu kepada kaum India bahawa RMK13 akan memartabatkan komuniti itu.

Satees juga mencabar Rayer atau mana-mana ahli Parlimen DAP lain untuk berdebat terbuka mengenai perkara itu.

“Jika mereka mempunyai keberanian, mereka harus menerima cabaran ini.

“Atau, adakah mereka hanya berani menjalankan agenda ‘tauke’ dengan berselindung di sebalik peristiwa 13 Mei untuk mengalih perhatian rakyat?” soalnya.



Source link