Malaysia Oversight

Rapid KL On-Demand Diperluas ke 12 Zon Shah Alam, Klang

By TheSun in July 18, 2025 – Reading time 2 minute
Rapid KL On-Demand Diperluas ke 12 Zon Shah Alam, Klang


KUALA LUMPUR: Perkhidmatan Rapid KL On-Demand diperluas ke fasa baharu melibatkan 12 zon tambahan di kawasan Shah Alam dan Klang, bermula esok.

Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus) dalam kenyataan hari ini memaklumkan perkhidmatan van itu meliputi kawasan Persiaran Dato Menteri – KTM Shah Alam; KTM Padang Jawa – Terminal 17; KTM Padang Jawa – Seksyen 7; U12 Cahaya Alam; Bandar Baru Klang dan KTM Klang – Batu Belah.

Menurut anak syarikat Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) itu, perkhidmatan sama turut diperluas ke kawasan Taman Summit; KTM Klang – Teluk Gadong; Sri Andalas; Klang Jaya; Bandar Bukit Tinggi dan Bandar Puteri.

“Langkah ini adalah sebahagian daripada komitmen Prasarana untuk memperkukuh jaringan mobiliti bandar serta meningkatkan akses kepada pengangkutan awam, khususnya kesalinghubungan batuan pertama dan batuan terakhir,” katanya.

Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Amir Hamdan berkata peluasan perkhidmatan itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan syarikat untuk mendekatkan rakyat kepada sistem pengangkutan awam yang diyakini dan inklusif.

“Fasa ini bukan sekadar memperluas liputan perkhidmatan, tetapi membuktikan komitmen kami untuk menyediakan akses yang seimbang kepada pengangkutan awam.

“Kami mahu memastikan setiap warga bandar mendapat penyelesaian mobiliti yang bersesuaian, cekap, dan berpatutan, terutamanya di kawasan yang sebelum ini kurang diliputi oleh rangkaian bas sedia ada,” katanya dalam kenyataan sama.

Dalam perkembangan berkaitan, perkhidmatan Rapid KL On-Demand bagi zon Desa Pinggiran Putra – Dataran Gemilang akan digabungkan dengan zon MRT Sentral – PICC dan dinamakan semula sebagai MRT Sentral – PICC dan Desa Pinggiran Putra bagi menyediakan perkhidmatan yang lebih menyeluruh dan bersepadu.

Rapid KL On-Demand menawarkan jaminan tempat duduk dan boleh ditempah setiap hari dari 6 pagi hingga 11.30 malam dengan tambang promosi serendah RM1 setiap perjalanan masih diteruskan sebagai galakan untuk lebih ramai pengguna mencuba perkhidmatan ini.

Tempahan perjalanan boleh dibuat menerusi aplikasi Rapid On-Demand yang boleh dimuat turun secara percuma di Google Play Store dan App Store.

Maklumat lanjut mengenai zon liputan dan panduan penggunaan boleh didapati di laman web rasmi www.myrapid.com.my atau saluran media sosial Rapid KL.- BERNAMA



Source link