Operator air tunggal Johor, Ranhill SAJ menyokong cadangan kerajaan negeri bagi mewartakan Sungai Johor sebagai kawasan tadahan air kekal demi memastikan sumber air mentah negeri itu selamat dan tidak tercemar.
Ketua Pegawai Eksekutif Ranhill SAJ, Anuar Abdul Ghani (atas) berkata saranan itu akan mengekalkan sumber air mentah bagi hampir dua juta pengguna itu terus terpelihara dan dilindungi daripada sebarang bentuk pencemaran.
“Ranhill SAJ amat bimbang dengan ancaman pencemaran yang boleh menjejaskan operasi empat buah loji rawatan air (LRA) di Sungai Johor, sekali gus membantutkan bekalan air kepada pengguna.
“Pewartaan Sungai Johor sebagai kawasan tadahan kekal akan menjadi benteng utama dalam melindungi sumber air negeri itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Empat buah LRA di Sungai Johor itu terdiri daripada LRA Sungai Linggiu, LRA Semangar, LRA Sungai Johor dan LRA Tai Hong.
Anuar berkata selain Sungai Johor, lapan lagi LRA berada dalam lembangan Sungai Muar iaitu LRA Panchor 1 hingga 4, Pagoh, Gombang, Gersik dan Bukit Serampang.
Katanya, pewartaan itu kelak tidak hanya dapat mengawal pembangunan dan aktiviti industri di sekitar kawasan tadahan air mentah tetapi juga memastikan langkah-langkah pencegahan dan penguatkuasaan dapat dijalankan dengan lebih berkesan oleh pihak berkuasa.
“Isu pencemaran sungai bukan sahaja memberi kesan kepada alam sekitar, tetapi turut mengancam kesejahteraan rakyat.
“Apabila sesebuah operasi loji terpaksa dihentikan akibat kualiti air mentah yang tidak menepati piawaian rawatan, rakyat akan terkesan.
“Ia bukan sahaja menjejaskan kualiti kehidupan tetapi menghalang pertumbuhan ekonomi yang lebih pesat,” katanya.
Dia menambah Ranhill SAJ melihat keperluan untuk melindungi kawasan tadahan ini sebagai keutamaan strategik bagi menjamin bekalan air berterusan kepada rakyat Johor.
Anuar turut menyeru agar kerjasama bersepadu antara kerajaan negeri, agensi penguat kuasa, pihak berkuasa tempatan dan komuniti setempat terus diperkukuh bagi memastikan sungai-sungai kekal bersih, selamat dan lestari.
“Air adalah sumber kehidupan dan tanggungjawab memeliharanya perlu dikongsi oleh semua pihak.
“Ranhill SAJ komited untuk terus memainkan peranan aktif dalam memastikan sumber air negeri ini sentiasa dilindungi dan berdaya tahan untuk generasi akan datang,” katanya.
Jumaat lepas pencemaran dikesan di Sungai Johor sehingga menyebabkan empat buah LRA di sungai itu terpaksa ditutup ekoran kualiti air mentah yang teruk terjejas.
Parameter kekeruhan air direkodkan melebihi 37,400 NTU (unit kekeruhan nefelometrik), berbanding paras normal sekitar 400 NTU.
Ia mengakibatkan hampir 300,000 akaun pengguna terjejas termasuk di Johor Bahru, Kota Tinggi, Gelang Patah, Skudai, Kulai dan Kota Tinggi.






