Peguam yang mewakili bekas ketua menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, dalam perbicaraan rasuahnya membidas kenyataan yang dilaporkan dibuat oleh Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Wan Shaharuddin Wan Ladin berhubung serangan terhadap saksi penting.
Ramkarpal Singh berkata kenyataan Wan Shaharuddin, seperti dilaporkan Malaysiakini dan New Straits Times (NST) awal bulan ini, bersifat prasangka dan seolah-olah mengaitkan anak guam mereka dengan serangan tersebut.
“Wan Shaharuddin telah membuat kenyataan muktamad (dalam laporan) seolah-olah rompakan itu berkaitan dengan kes yang sedang dibicarakan di mahkamah ini.
“Implikasi daripada kenyataan ini sangat serius untuk anak guam kami kerana ia boleh menimbulkan inferens bahawa anak guam kami terlibat dalam insiden itu.

“(Kenyataan itu) boleh menimbulkan persoalan sama ada Lim telah melakukan atau terbabit dalam mengganggu saksi, yang sekali gus boleh menjejaskan integriti serta sikap berkecuali pihak pendakwaan dalam perbicaraan ini,” kata Ramkarpal pada permulaan perbicaraan hari ini di hadapan hakim Mahkamah Sesyen, Azura Alwi.
Katanya peranan seorang pendakwa raya untuk mengemukakan bukti mencukupi di mahkamah bagi mendapatkan sabitan, bukannya memihak.
Ramkarpal turut menekankan dalam kes ini, polis telah mengeluarkan dua kenyataan berturut-turut yang menafikan rompakan itu ada kaitan dengan perbicaraan Lim yang sedang berlangsung.
“Ia insiden terasing, langsung tidak berkait dengan kes ini.

“Bagaimana dia (Lim) boleh mendapat perbicaraan yang adil, jika terdapat seorang timbalan pendakwa raya (DPP) berat sebelah yang telah membuat kesimpulan bahawa satu rompakan terpencil ada kaitan dengan kes ini, melalui kenyataan melulu sebegitu?
“Bolehkah kami diyakinkan bahawa pendakwaan ini akan dijalankan secara adil, telus dan berkecuali,” soalnya.
Laporan berita yang dirujuk di mahkamah hari ini diterbitkan pada 6 Ogos, dengan Wan Shaharuddin dipetik NST berkata pihak pendakwaan mempertimbangkan untuk memohon perlindungan saksi berikutan serangan terhadap Gnanaraja.
Malaysiakini pula melaporkan dia menunggu arahan daripada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki, berkaitan keselamatan saksi itu
DPP: Siapa makan cili dia rasa pedas
Sebagai menjawab bantahan pasukan pembela Guan Eng terhadap kenyataannya, Wan Shaharuddin berkata dia sekadar menjawab soalan yang diajukan wartawan dan laporan itu telah dibaca di luar konteks.
“Saya bukan bodoh untuk kata rompakan itu ada kaitan dengan Guan Eng. Siapa makan cili terasa pedasnya. Saya sudah jadi DPP lebih 30 tahun.
“Biar polis jalankan siasatan dulu. Semasa saya buat kenyataan itu jam 12 tengah hari, sidang media polis hanya berlangsung pada jam 5.30 petang (hari yang sama).
“Siasatan pun belum selesai (ketika itu) apabila polis mengklasifikasikan kes itu sebagai rompakan. Tetapi kalau mereka benar-benar mahu saya menarik diri, maka buatlah permohonan dan kita lihat apa jadi nanti,” katanya.
Mahkamah kemudian menyatakan tidak adil untuk membuat sebarang keputusan dalam perkara itu kerana tiada permohonan rasmi difailkan berkaitan laporan berita tersebut.
“Anda semua hanya membaca artikel yang tidak berkaitan secara rasmi dengan kes (yang sedang berlangsung) ini, jadi tidak adil untuk saya membuat keputusan kerana laporan ini tidak difailkan secara rasmi kepada mahkamah.
“Jika anda serius mahu buat permohonan (untuk gugurkan Wan Shaharuddin), maka failkan permohonan bersama bukti supaya saya boleh pertimbangkan,” kata hakim.
Selepas prosiding ditangguhkan sebentar, Ramkarpal memberitahu mahkamah mereka tidak akan memfailkan permohonan rasmi untuk menggugurkan Wan Shaharuddin, tetapi mahu mahkamah merekodkan bahawa pihak pembela tidak akan teragak-agak berbuat demikian pada masa depan sekiranya berlaku lagi kelakuan seumpamanya.
Perbicaraan kemudian ditangguhkan selepas Gnanaraja memaklumkan dia berasa “tidak okay” untuk terus memberi keterangan.
Prosiding akan bersambung pada 27 dan 28 Ogos ini.
Lim dibicarakan atas empat pertuduhan rasuah berkaitan projek terowong dasar laut Pulau Pinang dan projek jalan berkembar yang menghubungkan pulau dengan tanah besar.
Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa menyalahgunakan kuasanya sebagai ketua menteri ketika itu untuk memperoleh gratifikasi wang berjumlah RM3.3 juta sebagai dorongan untuk melantik Consortium Zenith Construction Sdn Bhd melaksanakan projek bernilai RM6,341,383,702.
Bagi pertuduhan kedua, Lim didakwa meminta 10 peratus keuntungan daripada bekas pengarah syarikat itu, Zarul Ahmad Zulkifli, sebagai ganjaran kerana membantu syarikatnya mendapatkan projek tersebut.
Dia juga berdepan dua lagi pertuduhan melibatkan pelupusan secara tidak jujur dua bidang tanah milik kerajaan negeri Pulau Pinang di Bandar Tanjong Pinang, bernilai RM208 juta, kepada pemaju projek terowong berkenaan.