TOKYO: Proses rambut menjadi uban mungkin bukan sekadar tanda penuaan, sebaliknya merupakan isyarat tubuh melawan sel berpotensi kanser, menurut satu kajian terbaharu yang dijalankan oleh Universiti Tokyo, Jepun.
Kajian yang diterbitkan dalam jurnal Nature Cell Biology itu mendapati, apabila sel stem penghasil pigmen pada rambut mengalami kerosakan DNA, sebahagiannya akan musnah sendiri bagi mengelak berubah menjadi sel kanser sehingga menyebabkan rambut kehilangan warna dan menjadi putih.
Penemuan itu menunjukkan proses beruban berlaku apabila sistem pertahanan semula jadi tubuh, dikenali sebagai laluan p53–p21, diaktifkan untuk memusnahkan sel-sel yang berpotensi berbahaya dan jika isyarat ini lemah, maka risiko menghidap kanser akan meningkat.
Menurut ketua penyelidik, Prof. Emi Nishimura dan Penolong Prof. Yasuaki Mohri, rambut beruban mungkin sebenarnya merupakan tindak balas biologi yang bertujuan menghalang perkembangan kanser dengan menyingkirkan sel-sel rosak.
Saintis mendedahkan sel stem penghasil warna rambut, atau melanocyte stem cells (McSC) pada tikus kepada cahaya matahari yang kuat dan bahan kimia tertentu.
Hasilnya, sebahagian sel yang rosak mati, menyebabkan bulu tikus menjadi putih namun, ada juga sel yang terus membiak walaupun rosak, sekali gus meningkatkan risiko kanser kulit.
Para penyelidik mendapati terdapat isyarat khas dalam tubuh yang boleh mengarahkan sel-sel tersebut untuk memusnahkan diri dan seterusnya menyebabkan rambut beruban.
“Penemuan ini menunjukkan populasi sel stem yang sama boleh mengalami dua nasib bertentangan sama ada lenyap atau terus berkembang bergantung kepada jenis tekanan dan isyarat persekitaran mikro yang dihadapinya,” kata Nishimura.
Namun, penyelidik berkata, beruban tidak bermakna seseorang itu kebal daripada kanser.






