Unit Transformasi Masyarakat India (Mitra) bawah kerajaan Madani dilihat bergolak selepas Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, R Ramanan, hari ini mendakwa akan kembali menerajui unit tersebut.
Ahli Parlimen Sungai Buloh yang pernah dilantik sebagai pengerusi jawatankuasa pasukan petugas khas (JPPK) mengawal selia Mitra pada 2023 itu, berkata dia kembali untuk memimpin Mitra selepas menerima arahan daripada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
“Saya tidak merampas jawatan sesiapa apabila kembali memimpin Mitra, sebaliknya hanya menjalankan tanggungjawab yang diberikan oleh perdana menteri.
“JPPK telah diwujudkan untuk memantau dana ini, dan saya pernah berkhidmat sebagai pengerusinya sebelum ini.
“Namun selepas dilantik sebagai timbalan menteri, saya melepaskan jawatan itu.
“Kini, perdana menteri sekali lagi memberikan saya tanggungjawab itu dan saya hanya melaksanakan amanah tersebut,” katanya dalam satu sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.
Tambah Ramanan, dia sedia memberi ruang kepada pihak lain sekiranya mereka ingin menerajui Mitra.
“Tolong, kalau sesiapa nak (memimpin Mitra) silakan. Adalah tak logik untuk kita rampas tugas ini daripada sesiapa. Siapa yang beri tugas ini kepada saya, perdana menteri sendiri minta saya,” katanya lagi.
Sementara itu, Pengerusi JPPK Mitra, P Prabakaran, ketika dihubungi memberitahu dia belum menerima sebarang surat rasmi atau arahan daripada Pejabat Perdana Menteri (PMO) berhubung perubahan kepimpinan badan tersebut.
Dakwa tak ada hala tuju
“Mitra diambil alih oleh Ramanan? Maaf, saya tidak tahu.
“Saya tidak dimaklumkan dan belum menerima surat atau arahan daripada PMO mengenai perkara ini,” katanya ringkas.
Unit itu kini berada bawah PMO dan diuruskan oleh JPPK yang dipengerusikan oleh Ahli Parlimen Batu itu.
Bagaimanapun, baru-baru ini Ramanan diberi tanggungjawab mengawal selia dan memantau pelaksanaan projek yang melibatkan kuil dan sekolah Tamil.
Difahamkan, Anwar melalui Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Johan Mahmood Merican, mengarahkan Ramanan menjaga hal ehwal komuniti India, termasuk merangka inisiatif baru bagi masyarakat tersebut.
Ramanan yang juga Naib Presiden PKR baru-baru ini dikatakan mempengerusikan mesyuarat JPPK Mitra di bangunan Parlimen dan ia dibuat tanpa kehadiran Prabakaran.

Selain itu, Ramanan juga dilihat sering menjawab soalan-soalan berkaitan Mitra, sekali gus menimbulkan persoalan mengapa wakil PMO atau Jabatan Perdana Menteri (JPM) tidak menjawab soalan berhubung unit tersebut.
Sebelum ini beberapa sumber dalaman Mitra memaklumkan Malaysiakini bahawa terdapat kekeliruan struktur dan hala tuju unit tersebut.
“Sejak kerajaan Madani mengambil alih Mitra, unit ini sudah tidak ada hala tuju. Kami sendiri tak tahu siapa yang ada kuasa untuk membuat keputusan berhubung program-program Mitra.
“Kalau sebelum ini Mitra menjadi unit menapis semua permohonan sebelum meluluskan serta dan menjadi badan kawal selia, sekarang program-program yang diluluskan oleh kami ditolak oleh PMO.
“Kami menghabiskan hampir empat bulan untuk menapis semua permohonan sebelum memberi kelulusan, tetapi ia ditolak begitu sahaja.
“Lebih mengecewakan, program-program baru telah diumumkan tanpa pengetahuan kami,” katanya.

Mitra sebelum ini dikenali sebagai Unit Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India (Sedic) sebelum dijenamakan semula pada tahun 2018. Penubuhannya bertujuan menangani isu kemiskinan, pendidikan, dan peluang ekonomi dalam komuniti India melalui pelbagai program pembangunan.
Namun, Mitra pernah berdepan pelbagai kontroversi dalaman, termasuk isu penyelewengan dana, kelemahan penyampaian bantuan, dan tuduhan campur tangan politik dalam pengagihan peruntukan.
Sementara itu, Ramanan turut mengumumkan beberapa inisiatif baru dalam sidang media hari ini.
Antaranya, program Kalvi Madani iaitu peruntukan RM8 juta untuk tuisyen percuma di 200 sekolah Tamil sebagai projek perintis; dan pembayaran imbuhan guru-guru yang mengajar dibuat oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) di bawah JPM.
Program Peranti Siswa pula akan membolehkan 3,000 pelajar institusi pengajian tinggi terima komputer riba baru dengan dana sebanyak RM7.95 juta
Kata Ramanan, program berkenaan akan dilaksanakan oleh Yayasan Perkasa Siswa dengan kerjasama Yayasan Didik Negara;
“Selain itu, dana RM12.8 juta disediakan untuk penyelenggaraan atau pembaikan kecil sekolah Tamil,” katanya.
Mitra sebelum ini dinamakan Unit Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India (Sedic) sebelum penjenamaan semula pada 2018.






