Malaysia Oversight

Ramanan bidas pihak cuba kaitkan PMO dengan ‘kegagalan’ Mitra

By MkiniBM in August 8, 2025 – Reading time 2 minute
Ramanan bidas pihak cuba kaitkan PMO dengan 'kegagalan' Mitra


Bekas Pengerusi Unit Transformasi India Malaysia (Mitra), R Ramanan, membidas pihak yang mengaitkan ‘kegagalan’ agensi itu dengan Pejabat Perdana Menteri (PMO).

Tanpa menamakan individu tertentu, Ramanan yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), menyifatkan kenyataan sedemikian sebagai tidak bertanggungjawab serta dibuat tanpa memahami pelaksanaan sebenar program Mitra.

“Sekiranya kamu tidak dapat berfungsi, kamu boleh keluar (dari Mitra). Jangan tuduh pihak lain atas kegagalan kamu.

“Sebagai ahli politik, kita perlu berfikir sebelum bercakap – bukan sekali dua, tetapi berkali-kali.

“Segala-galanya ada hadnya. Jangan kaitkan PMO dengan kegagalan Mitra,” katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas isu dana Mitra.

Sebelum ini Pengerusi Mitra, P Prabakaran mengkritik agensi yang menurutnya menganggap Mitra sebagai sebuah entiti “serba guna” atau “catch-all”, sekali gus membebankan unit itu dengan tanggungjawab di luar mandatnya.

82fcf8c6cbba6f996343612ce3bf173e

Dalam ucapan perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) semalam, Prabakaran mendakwa terdapat banyak insiden di mana individu dan organisasi dirujuk kepada Mitra untuk menyelesaikan perkara di luar bidang kuasanya, termasuk isu pengecualian cukai dan pembangunan sukan.

Mengulas pengumuman PMO mengenai 16 program yang diluluskan untuk masyarakat India, Prabakaran berkata Mitra masih menunggu butiran dan arahan lanjut.

“Kami sedang menunggu arahan lanjut daripada PMO tentang cara melaksanakan program tersebut dan apa sebenarnya yang diperlukan.

“Pada fasa awal, Mitra telah mengemukakan 45 program (untuk pertimbangan PMO), jadi terima kasih kepada perdana menteri kerana meluluskan 16 daripadanya.

“Saya sangat berharap perkara ini dapat dipercepatkan (kerana) saya sendiri semakin tidak sabar untuk melihat apa hala tuju seterusnya daripada perdana menteri,” katanya.

Bagaimanapun, Ramanan menegaskan dia tidak menghadapi sebarang isu dalam menguruskan peruntukan Mitra ketika menerajui agensi itu.

Ahli Parlimen Sungai Buloh itu berkata peruntukan RM100 juta yang diberikan kepada Mitra pada tahun lalu telah dibelanjakan sepenuhnya dengan penuh ketelusan, integriti dan kecekapan.

“Semua penerima dana dinamakan secara terbuka, dan butiran program disediakan dengan jelas.

“Jadi bagaimana sesiapa boleh mendakwa Mitra gagal?” soalnya.

Untuk makluman, Mitra ditubuhkan pada 2018 sebagai penjenamaan semula kepada Sedic, dengan tujuan menangani isu kemiskinan dan memperkukuh pembangunan sosioekonomi dalam kalangan masyarakat India B40.



Source link