Muda mengingatkan polis tentang keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengesahkan hak perlembagaan untuk berhimpun secara aman, dan bukannya kebenaran yang boleh diberikan atau ditarik balik mengikut kehendak polis.
Timbalan ketua komunikasi parti itu, Rasid Abu Bakar, dalam satu kenyataan, memberi respons kepada amaran yang dilaporkan oleh Ketua Polis Kuala Lumpur, Fadil Marsus, terhadap dua perhimpunan “anti-Trump” di kawasan yang diisytiharkan sebagai “zon merah” untuk Sidang Kemuncak Asean ke-47.
“Keputusan Mahkamah Persekutuan telah pun memperjelas bahawa rakyat tidak perlu mendapatkan kebenaran polis untuk berhimpun. Undang-undang hanya mewajibkan penganjur untuk memberi notis pemberitahuan, bukan meminta izin.
“Ini keputusan mahkamah tertinggi negara, dan sebarang tindakan PDRM yang cuba menyekat, menakut-nakutkan, atau memindahkan himpunan aman adalah tindakan melampaui batas kuasa,” katanya.
Pada 1 Julai, panel hakim lima anggota Mahkamah Persekutuan yang diketuai oleh ketua hakim ketika itu, Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara memutuskan bahawa satu seksyen Akta Perhimpunan Aman (PAA) 2012 – yang menjenayahkan tidak memberi notis perhimpunan kepada pihak berkuasa – adalah tidak berperlembagaan.
Rasid seterusnya berkata polis bukanlah penentu sama ada perhimpunan itu sesuai atau tidak.
“Peranan kamu ialah memastikan keselamatan, bukan menentukan apa yang rakyat boleh atau tidak boleh suarakan.
“Bila polis mula menilai ‘imej negara’ sebagai alasan untuk sekat suara rakyat, itu bukan soal keselamatan lagi itu sudah jadi penyalahgunaan kuasa,” dakwanya.
Awal hari ini, Fadil berkata walaupun rakyat berhak untuk bersuara menentang ketidakadilan terhadap rakyat Palestin, mereka masih perlu mematuhi undang-undang bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam.
Menurutnya, telah diputuskan bahawa kawasan di Ampang Park – “zon merah” yang secara aktif melibatkan laluan protokol yang digunakan untuk sampai ke persidangan – dilarang untuk penunjuk perasaan berdasarkan risikan dan analisis oleh agensi keselamatan.
Sidang Kemuncak Asean, yang akan diadakan di Kuala Lumpur mulai esok hingga 28 Okt, akan menyaksikan penyertaan pemimpin negeri dari negara anggota dan rakan dialog utama Asean, termasuk China, Jepun, India dan AS.
Mengulas lanjut, Rasid berkata imej sebenar Malaysia tidak bergantung pada betapa ia menyenangkan pemimpin asing seperti Donald Trump, tetapi pada betapa beraninya ia menghormati suara rakyatnya sendiri.
“Jika polis terus bertindak melangkaui undang-undang, kamu bukan melindungi negara tetapi kamu sedang mencemarkan demokrasi.
“Saya ingin beri peringatan tegas kepada PDRM hormati keputusan Mahkamah Persekutuan, dan jangan cabar hak rakyat yang dijamin oleh Perlembagaan.
“Setiap kali kamu cuba menakut-nakutkan rakyat daripada berhimpun secara aman, kamu sedang menunjukkan kepada dunia bahawa polis Malaysia takut pada rakyatnya sendiri,” tegasnya.
Trump, yang telah dikritik hebat kerana peranannya dalam membolehkan pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin di Gaza oleh Israel, telah mengesahkan akan menghadiri acara tersebut dan dijangka tiba di Kuala Lumpur esok.
Banyak kumpulan telah mengumumkan bahawa mereka akan mengadakan demonstrasi membantah Trump semasa sidang kemuncak tersebut.
Ini termasuk kumpulan advokasi pembebasan Palestin Boycott, Divestment, and Sanctions (BDS) Malaysia, yang mengatakan bahawa ia akan mengadakan protes bersama dengan lebih daripada 23 organisasi rakan kongsi untuk menyatakan bantahannya terhadap kehadiran Trump di acara tersebut.






