Seorang lelaki rakyat Malaysia berusia 37 tahun ditahan di Singapura pada Sabtu lepas kerana cuba menyeludup lebih 3.8 kilogram (kg) dadah bernilai lebih S$394,000, kata pihak berkuasa hari ini.
Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) dan Biro Narkotik Pusat (CNB) berkata dadah itu yang terdiri daripada 1,908 gram (g) heroin, 1,655g ganja dan 268g ice dirampas dari kereta suspek ketika pemeriksaan rapi di Pusat Pemeriksaan Tuas.
“Dadah yang dirampas itu berpotensi untuk menampung bekalan kira-kira 1,300 penagih selama seminggu.
“Siasatan sedang dijalankan,” kata kedua-dua agensi itu dalam kenyataan bersama.
Pegawai ICA mengarahkan kereta berkenaan untuk pemeriksaan lanjut dan menemukan dua bungkusan hitam, disyaki mengandungi dadah terkawal, yang disembunyikan dalam panel but belakang.
Pemeriksaan lanjut oleh pegawai CNB menemukan enam lagi bungkusan hitam yang disembunyikan di beberapa ruang dalam kenderaan itu.
Di bawah Seksyen 7 Akta Penyalahgunaan Dadah 1973, individu yang mengimport ke atau mengeksport dari Singapura lebih 15g diamorfin (heroin tulen), lebih 250g methamphetamine, atau lebih 500g ganja, boleh berdepan hukuman mati.
– Bernama