Umno Sabah hari ini menggesa Ketua Menteri, Hajiji Noor, tampil bertanggungjawab terhadap skandal perlombongan yang kini membayangi pentadbiran negeri, susulan laporan bahawa SPRM telah menyerahkan kertas siasatan kepada Pejabat Peguam Negara.
Pengarah Komunikasi Strategik Umno Sabah, Datu Rosman Datu Ahir Zaman berkata, siasatan SPRM yang mengaitkan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) blok kerajaan dengan dakwaan rasuah dan salah guna kuasa dalam isu perlesenan lombong mineral jelas mencemarkan integriti pentadbiran kerajaan negeri.

“Ini bukan sahaja mengaibkan institusi kerajaan Sabah, malah menunjukkan kegagalan ketua menteri dalam menegakkan tadbir urus bersih dan telus yang dijanjikan di bawah slogan Sabah Maju Jaya,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Walaupun SPRM sebelum ini menyatakan video berkaitan skandal tersebut telah disunting secara berlebihan, Rosman menegaskan bahawa penyerahan kertas siasatan lengkap serta kemungkinan beberapa individu akan didakwa menunjukkan terdapat asas yang kukuh terhadap dakwaan yang dibuat.
“Krisis kepercayaan sedang berlaku. Rakyat Sabah kini ragu terhadap kredibiliti kerajaan negeri. Mereka berhak tahu kebenaran dan menuntut ketelusan penuh daripada pihak berkuasa,” katanya.
Rosman juga menyelar pendekatan berdiam diri Hajiji, menyifatkan tindakan itu sebagai tidak bertanggungjawab dan menuntut ketua menteri menilai semula kedudukan mana-mana anggota pentadbiran yang terpalit dalam skandal tersebut.

“Ketua Menteri tidak boleh cuci tangan. Beliau mesti bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kerosakan integriti dalam kabinetnya,” katanya.
Gesaan Umno Sabah itu hadir ketika tekanan terhadap kerajaan negeri semakin memuncak, susulan pendedahan seorang pemberi maklumat dikenali sebagai “Albert” yang menyerahkan ratusan muka surat bukti kepada SPRM.
Beberapa pihak, termasuk Persatuan Pengusaha Perlombongan Sabah, turut menggesa agar pemberi maklumat itu dilindungi, memandangkan dakwaan skandal tersebut melibatkan tokoh politik kanan dan potensi ancaman terhadap keselamatannya.
Umno Sabah turut menekankan bahawa hanya dengan ketelusan dan akauntabiliti sepenuhnya, kepercayaan rakyat terhadap institusi negeri dapat dipulihkan.